Taufan Champi ancam Taiwan dengan angin kencang

Taufan Champi ancam Taiwan dengan angin kencang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Hampir seluruh Taiwan menghentikan operasi hari ini menjelang ketibaan Taufan Champi yang diramal membawa angin kencang dan hujan lebat, dengan kemungkinan ribut itu melanda pulau berkenaan secara langsung masih belum dapat diketepikan.

Walaupun semakin lemah, Champi yang sebelum ini dikategorikan sebagai taufan super dan antara ribut paling kuat di Pasifik tahun ini, masih membawa angin kencang sehingga 191 kilometer sejam berhampiran pusatnya, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA).

Ribut itu dikesan kira-kira 220 kilometer di timur Taiwan, dengan laluan ramalan menunjukkan ia akan bergerak melepasi timur laut pulau itu sebelum membelok ke utara menuju pesisir China dan seterusnya ke selatan Jepun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang maut manakala 94 lagi cedera akibat taufan itu, sementara hampir 1,300 penduduk dipindahkan dari kawasan pergunungan, menurut kerajaan Taiwan.

Pakar ramalan cuaca CWA, Liu Pei-teng, berkata kemungkinan Champi melanda Taiwan secara langsung masih wujud sekiranya ribut itu terhenti, berpusing atau berubah arah ketika menghampiri pulau berkenaan.

“Jejari angin ribut itu agak besar, antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Reuters.

Beliau berkata, pergerakan ribut yang semakin perlahan boleh menyebabkan Taiwan terdedah kepada angin kencang untuk tempoh lebih lama.

Pasaran kewangan Taiwan turut ditutup pada Jumaat, manakala hanya Kepulauan Kinmen yang ditadbir Taiwan dan terletak berhampiran pesisir China akan meneruskan operasi sekolah serta pejabat seperti biasa.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kesemua 262 penerbangan domestik dan 717 penerbangan antarabangsa dibatalkan pada Jumaat.

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan utara dan selatan Taiwan beroperasi seperti biasa.

Di ibu negara Taipei, hujan lebat berserta angin kencang melanda beberapa kawasan, namun pengangkutan awam termasuk perkhidmatan tren bawah tanah masih beroperasi, meskipun dengan kekerapan yang dikurangkan.

Kawasan pesisir menerima amaran menerusi telefon bimbit mengenai tiupan angin melebihi 150 kilometer sejam, selain menggesa penduduk segera berlindung di tempat selamat.

Hujan hampir satu meter pula diramalkan melanda kawasan pergunungan di utara Taiwan, termasuk sekitar Taipei.

Di daerah Yilan di timur laut Taiwan, pihak berkuasa mengagihkan beg pasir serta menempatkan kenderaan amfibia dan bot penyelamat kembung dalam keadaan siap siaga susulan peningkatan angin kencang dan hujan lebat.

Taufan itu diramal bergerak berhampiran kawasan berkenaan pada Jumaat.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini