PETALING JAYA : Had kapasiti ekologi bagi aktiviti pelancongan marin perlu dilaksanakan bagi melindungi terumbu karang yang semakin terancam akibat tekanan persekitaran.
Presiden Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) Aminor Azmi Abdul Latip berkata, pengurusan aktiviti pelancongan perlu mengambil kira kemampuan ekosistem bagi memastikan kelestarian terumbu karang, di samping mengekalkan sumber pendapatan masyarakat pesisir pantai.
Beliau berkata, MSDA menyokong usaha kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia untuk memperkukuh perlindungan kawasan, pemulihan habitat dan penguatkuasaan, termasuk penggunaan konsep had kapasiti ekologi dalam mengurus aktiviti pelancongan marin.
“Terumbu karang adalah asas kepada tarikan destinasi selam skuba kita. Jika kesihatannya terus merosot, hidupan marin, pengalaman pelancong dan mata pencarian komuniti turut terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penetapan had aktiviti perlu berdasarkan kajian saintifik dan keadaan sebenar setiap lokasi, termasuk jumlah pengunjung, bot, penyelam serta peserta snorkeling pada satu-satu masa.
Langkah berkenaan katanya, boleh dilaksanakan melalui penggiliran tapak selaman, pewujudan zon perlindungan dan penutupan sementara kawasan sensitif sekiranya diperlukan.
Aminor berkata, pelaksanaan langkah itu juga perlu disertai pemantauan kesihatan terumbu secara berkala serta penglibatan pengusaha dan komuniti setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, MSDA turut menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti pengeboman ikan di sesetengah kawasan perairan Sabah yang boleh merosakkan habitat marin.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan menggesa penguatkuasaan dan kerjasama dalam penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa diperkukuh bagi membendung kegiatan tersebut.
“Usaha memulihkan karang perlu berjalan seiring dengan tindakan menghentikan aktiviti yang merosakkannya. Operator, penyelam dan komuniti hendaklah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tanpa membahayakan diri,” katanya.
MSDA turut menggesa kementerian dan agensi berkaitan memperkukuh sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program konservasi, termasuk melalui bantuan kewangan, latihan, kemudahan kerja lapangan dan penyelarasan kelulusan.
Menurut Aminor, agensi berkaitan juga perlu mengenal pasti lokasi terumbu karang yang terjejas, tahap kerosakan dan keutamaan pemulihan bagi membolehkan NGO serta sektor korporat merancang program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih berkesan.
Beliau berkata, kejayaan program konservasi perlu dinilai berdasarkan hasil pemulihan ekosistem dalam jangka panjang dan bukannya hanya berdasarkan jumlah aktiviti atau karang yang ditanam.
Selain itu, MSDA menekankan kepentingan memanfaatkan hasil kajian institusi pengajian tinggi awam dan swasta berkaitan kesihatan terumbu karang serta keberkesanan kaedah konservasi.
Dapatan penyelidikan itu, katanya, perlu diterjemahkan kepada panduan praktikal untuk kegunaan agensi kerajaan, NGO, pengusaha dan komuniti bagi memastikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara terselaras.
MSDA turut menyeru pengusaha pusat selam, pengendali snorkeling, resort dan bot supaya memperketat taklimat keselamatan serta pengawasan pelanggan, mematuhi zon aktiviti dan mengelakkan penggunaan sauh yang boleh merosakkan terumbu karang.
Penyelam dan peserta snorkeling pula diingatkan supaya tidak menyentuh, memijak, mengambil atau merosakkan karang serta memastikan peralatan mereka tidak terseret pada terumbu.
“Melindungi terumbu karang bermakna melindungi masa depan industri dan komuniti.
Kerajaan, penyelidik, NGO, sektor korporat serta pengusaha perlu menyatukan kepakaran dan sumber supaya usaha konservasi memberikan hasil yang berkekalan,” katanya.-UTUSAN











