Terumbu karang tenat, bakal pupus 2050?

Terumbu karang tenat, bakal pupus 2050?

Antara pulau yang terlibat ialah Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Terumbu karang yang menghiasi dasar laut negara bukan sekadar tarikan pelancong atau perhiasan semula jadi, sebaliknya menjadi nadi ekosistem marin dan tonggak keselamatan makanan negara.

Namun, kebanyakan terumbu karang kini dalam keadaan ‘tenat’, ekoran kepanasan air laut yang semakin ekstrim akibat perubahan iklim global, malah para saintis memberi amaran bahawa terumbu karang bakal pupus menjelang 2050 jika tiada tindakan drastik diambil.

Pakar Ekologi Terumbu Karang, Dr. Affendi Yang Amri juga Pegawai Penyelidik Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya (UM) menyifatkan keadaan semasa itu sebagai ‘genting dan mencemaskan’.

AFFENDI Yang Amri menunjukkan data satelit keadaan suhu air laut yang menjadi lebih merah akibat pemanasan global.

Beliau yang lebih 30 tahun mengkaji ekosistem laut mendedahkan, data satelit menunjukkan suhu air laut di seluruh dunia merekodkan peningkatan lebih tinggi daripada suhu normal yang pernah dicatatkan.

“Kalau kita lihat data suhu, kawasan Artik yang sepatutnya dingin juga semakin merah (panas). Ini semua petanda bahawa laut semakin tertekan dan ini menyebabkan fenomena kelunturan terumbu karang atau ‘coral bleaching’ semakin kerap berlaku dengan karang kehilangan alga yang hidup bersamanya lalu menjadi putih dan akhirnya mati akibat kelaparan.

“Unjuran saintifik menunjukkan menjelang tahun 2050, lebih 90 peratus terumbu karang dunia akan terdedah terhadap suhu melampau yang melebihi daya tahan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 di Pulau Aur, Mersing anjuran Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) selama tiga hari yang berakhir kelmarin.

Katanya, ramai yang keliru menyangka terumbu karang adalah batu, sebaliknya ia adalah haiwan yang ada hubungan simbiotik dengan alga yang membantu proses fotosintesis dan membekalkan makanan, namun apabila air laut panas, hubungan itu terputus dan alga keluar lalu menyebabkan karang menjadi putih.

Jika dalam tempoh dua hingga tiga minggu karang tidak mendapat semula alga tersebut, ia akan mati dan situasi itu kini berlaku dalam skala global.

Dr. Affendi yang juga Presiden Persatuan Sains Lautan Malaysia berkata, selama ini laut telah menyerap sehingga 80 peratus haba dunia, sekali gus mengelakkan suhu atmosfera melonjak lebih tinggi, namun ‘pengorbanan’ lautan itu membawa kesan terhadap ekosistem marin.

“Laut ini sebenarnya hero tanpa nama. Ia cuba lindungi kita daripada panas tetapi dalam masa sama, hidupan laut seperti terumbu karang semakin menderita,” katanya sambil menegaskan tanggungjawab menyelamatkan terumbu karang bukan hanya terletak kepada golongan saintis atau penyelam, malah seluruh rakyat.

Beliau menyokong inisiatif pelbagai pihak termasuk usaha pihak Yayasan JCorp yang aktif dalam aktiviti pemuliharaan seperti program pembersihan pantai dan rehabilitasi karang.

“Plastik yang kita buang di rumah pun akan sampai ke laut. Kalau semua orang faham, kita boleh berubah. Dulu kita pernah selamatkan lapisan ozon, kali ini kita mesti bersatu lagi, kalau tidak satu dunia, boleh dimulakan dengan ASEAN pun cukup,” katanya.

Menurutnya, tanpa terumbu karang, keseimbangan ekosistem laut akan terjejas, sekali gus memberi kesan langsung terhadap bekalan makanan laut negara.

“Dianggarkan lebih 40 peratus ikan di pasar kita ada kaitan dengan ekosistem terumbu karang. Kalau karang pupus, bekalan ikan mungkin merosot teruk, harga pun naik. Situasi ini bukan sahaja ancaman bagi biodiversiti, malah terhadap keselamatan makanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×