TAIPEI: Taiwan mengesan peningkatan ketara jumlah kapal China yang memasuki perairan sekitar pulau itu bulan lalu, kata seorang pegawai pengawal pantai Taiwan, ketika Beijing meningkatkan tekanan terhadap Taipei.
China mengerahkan pesawat tentera, kapal perang dan kapal pengawal pantai di sekitar Taiwan hampir setiap hari bagi menegaskan tuntutan kedaulatannya terhadap pulau itu. Namun, tuntutan itu ditolak oleh Taipei.
Data menunjukkan terdapat peningkatan ketara jumlah kapal China yang menjalankan gangguan zon kelabu pada Jun, kata seorang pegawai pengawal pantai Taiwan dengan syarat namanya tidak didedahkan.
Zon kelabu itu merujuk kepada keadaan di antara aman dan perang.
Sebanyak 263 kapal China, termasuk kapal pengawal pantai, kapal penyelamat dan kapal penyelidikan, dikesan berada di perairan sekitar Taiwan serta pulau-pulau luarannya pada Jun.
Jumlah itu meningkat berbanding 200 kapal sebulan sebelumnya dan 171 kapal pada Jun 2025.
Angka itu tidak termasuk kapal perang.
“Sama ada dari segi jenis atau jumlah kapal kerajaan yang terlibat dalam aktiviti zon kelabu ini, terdapat peningkatan yang ketara,” kata pegawai itu kepada pemberita.
China melancarkan rondaan penguatkuasaan undang-undang di perairan timur Taiwan bulan lalu, yang disifatkan Taipei sebagai tindakan provokatif dan pengembangan wilayah secara terselindung.
Sehingga Jun, kehadiran kapal Pengawal Pantai China di kawasan Pasifik Barat kebanyakannya terhad kepada penyertaan dalam latihan ketenteraan di sekitar Taiwan.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te lantang mempertahankan kedaulatan Taiwan pada Ahad dengan menggesa partinya menentang keganasan merah China dan melindungi cara hidup demokratik dan bebas pulau itu. – AFP










