TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan Tentera Laut Iran melaporkan pada Khamis bahawa lima kapal tangki minyak dan sebuah kapal tunda terbakar dalam insiden berasingan di Selat Hormuz.
Ia berlaku selepas kapal-kapal berkenaan cuba melalui laluan yang disifatkan Teheran sebagai tidak dibenarkan atau tidak selamat.
Dalam insiden terbaharu, dua lagi kapal tangki minyak terkena periuk api laut dan terbakar sekitar tengah hari Khamis di kawasan tidak selamat di timur Selat Hormuz, menurut agensi berita Tasnim Iran yang memetik Tentera Laut Iran.
Tentera Laut berkata, kapal tangki berkenaan mengabaikan amaran maritim dan memasuki kawasan larangan tanpa penyelarasan terlebih dahulu, menurut laporan itu.
Laporan berkenaan tidak mendedahkan identiti, kewarganegaraan kapal atau tahap kerosakan yang dialami.
Terdahulu pada Khamis, sebuah kapal tangki minyak terkena periuk api laut ketika melalui zon tidak selamat di timur Selat Hormuz, menurut Tentera Laut Iran, seperti dilaporkan agensi berita rasmi IRNA.
“Kapal tangki itu, yang beroperasi dengan melanggar sekatan, terbakar dan terpaksa berhenti,” kata Tentera Laut Iran.
Pasukan itu menambah bahawa kapal berkenaan, seperti kapal tangki lain yang terkena periuk api laut dan terbakar dalam beberapa hari kebelakangan ini, telah mematikan sistem pengenalan dan navigasinya.
Terdahulu pada Khamis, Kor Pengawal Revolusi Islam berkata, sebuah kapal tangki minyak besar terkena periuk api pada malam Rabu ketika cuba menggunakan laluan tidak dibenarkan di selatan selat itu.
Kapal tangki berkenaan terbakar dan terhenti, menurut kenyataan itu.
Dalam insiden berasingan, sebuah lagi kapal tangki terbakar ketika keluar dari laluan di bahagian timur selat itu, katanya.
Sebuah kapal tunda yang menghampiri untuk membantu memadamkan kebakaran turut terbakar, menurut kenyataan itu.
Kor Pengawal Revolusi turut berkata, unit peperangan elektronik tentera lautnya telah mengambil alih kawalan dua pesawat jenis Lucas yang disifatkannya sebagai menceroboh.
Ia mendakwa tentera lautnya terus menguasai Selat Hormuz.
Pasukan itu turut menuduh Amerika Syarikat (AS) menggalakkan kapal-kapal melanggar sekatan dan melalui laluan yang dipasang periuk api.
Ia, berkata, kerosakan yang berlaku akan membebankan pembayar cukai AS dan sekutu serantau dengan kos insurans yang tinggi.
Kor Pengawal Revolusi memberi amaran bahawa cubaan melanggar peraturan pelayaran di selat itu akan mengakibatkan kerugian kewangan lebih besar dan kemunduran politik bagi Washington. – AGENSI











