Sembelih bangkai ayam: Perangi kapitalis gadai halal

Sembelih bangkai ayam: Perangi kapitalis gadai halal

ISU penyembelihan ayam bukan sekadar soal makanan, tetapi menyentuh amanah, integriti dan tanggungjawab terhadap pengguna serta tuntutan agama. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Masyara-kat sivil seumpama deruan arus air serta ombak berkuasa yang mampu membawa berbagai bot para penguatkuasa undang-undang merempuh dan menghukum pengusaha ayam bangkai yang sudah lama menjadi agen syaitan.”

Umat Islam di Malaysia, khususnya di Lembah Klang, dikejutkan dengan laporan serbuan pihak polis terhadap sebuah kilang di Puchong yang disyaki menyembelih dan memproses bangkai ayam untuk dipasarkan kepada pengguna sekitar kawasan berkenaan.

Jumlah pemprosesan dan pembekalan ayam oleh kilang terbabit bukan sedikit, malah dilaporkan mencecah 40,000 ekor sehari. Angka ini amat membimbangkan kerana bekalan tersebut berkemungkinan telah tersebar ke pasar, pasar raya, kedai makan dan restoran di seluruh Lembah Klang. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana produk berkenaan telah sampai kepada pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rentetan bencana sosial terbaharu ini, orang awam menuntut tindakan tegas segera pihak berkuasa kerana isu halal haram seumpama oksigen yang kita sedut setiap hari. Jika oksigen yang kita sedut bercampur gas beracun, lama kelamaan jasad yang sihat boleh terjejas atau sakit.

Analogi sama boleh kita ikat dalam isu halal dan haram makanan yang menjadi darah daging kita. Bagi orang Islam, impak makanan yang tidak patuh Syariah sangat berat. Jika ia dilakukan secara sedar, ia mengundang dosa dan banyak impak lain seperti penolakan doa. Ikuti kisah ini:

Ertinya: Sa‘ad bin Abi Waqqas pernah meminta Rasulullah SAW mendoakannya agar menjadi insan yang mudah dimakbulkan doanya. Baginda menjawab: “Wahai Sa‘ad, peliharalah sumber makananmu, nescaya doamu mudah dimakbulkan Allah.” Baginda turut mengingatkan sesuap makanan haram boleh menyebabkan amalan seseorang tidak diterima selama 40 hari. Bahkan, mereka yang membesar dengan hasil sumber haram seperti rasuah dan riba lebih layak menerima azab neraka (Al-Mu‘jam al-Awsat, Imam al-Tabrani, 6495).

Penegasan Islam terhadap halal haram tidak perlu diulang sebut kerana ia sudah berakar umbi sejak zaman berzaman bagi orang Islam sedunia. Firman Allah:

Ertinya: Wahai sekalian manusia! Makanlah makanan yang halal lagi baik di bumi dan janganlah mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu. Syaitan hanya menyuruh melakukan kejahatan, perkara keji dan berkata dusta terhadap Allah tanpa ilmu.” (al-Baqarah, 2:168–169)

Ayat ini mengaitkan perintah mencari makanan halal dengan larangan mengikuti jejak syaitan kerana syaitan berusaha merosakkan rohani umat Islam melalui pengabaian batas halal dan haram.

Apabila soal pemakanan tidak lagi dipedulikan, benteng agama yang lain turut terancam.

Malah, perintah memakan hanya sembelihan halal yang disebut nama Allah padanya merupakan sebahagian daripada tuntutan akidah yang membezakan umat Islam daripada penganut agama lain. Lihat penegasan Allah dalam ayat ini:

Ertinya: Janganlah kamu memakan sembelihan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya kerana perbuatan itu termasuk dalam kefasikan. Sesungguhnya syaitan membisikkan hasutan kepada pengikutnya untuk membantah dan mengelirukan kamu. Jika kamu menurut hasutan tersebut sehingga menghalalkan perkara yang diharamkan Allah, maka kamu termasuk dalam kalangan orang musyrik. (al-An‘am, 6:121)

Oleh itu, kerajaan melalui agensi di peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan. Setiap kelemahan undang-undang serta kelompangan penguatkuasaan dalam isu ini mesti ditangani segera.

Pertindihan bidang kuasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelak tanggungjawab. Semua pihak perlu duduk semeja mencari penyelesaian, bukannya saling menuding jari, sedangkan ayam yang disyaki tidak selamat itu mungkin sudah lama memasuki rantaian makanan dan menjadi hidangan umat Islam.

Letakkan sasaran yang lebih besar, iaitu memastikan umat Islam bebas daripada makanan haram dan syubhah demi mencari keredaan Allah. Agensi yang memainkan peranan kritikal dalam pemantauan makanan halal dan haram perlu diselaraskan di bawah satu mekanisme yang lebih bersepadu.

Libatkan pakar dalam bidang berkaitan, dengar pandangan serta laksanakan saranan mereka bagi membentuk penyelesaian yang lebih menyeluruh, sistematik dan berkekalan.

Jangan hanya bertindak secara bermusim atau selepas menerima desakan masyarakat sivil yang terpaksa tampil memantau kelemahan agensi kerajaan. Negara memerlukan sistem penguatkuasaan yang mantap dan berterusan, bukannya tindakan sementara apabila sesuatu isu menjadi perhatian umum.

Kepada pengusaha yang terlibat dalam pemprosesan dan pemasaran ayam yang disyaki bangkai ini, sedarlah bahawa perbuatan anda bukan sekadar mencemarkan integriti industri makanan, malah mengancam kesucian pemakanan dan kehidupan rohani umat Islam. Renung hadis ini:

Ertinya: Allah berfirman: Aku telah cipta para hambaKu semuanya dengan fitrah yang suci. Kemudian mereka telah dihasut syaitan yang menjauhkan mereka daripada agama mereka. Syaitan lalu menghasut mereka untuk mengharamkan apa yang sudah Aku halalkan serta menghalalkan apa yang sudah Aku haramkan (Sahih Muslim, 2865).

Sedarlah! Dosa yang anda lakukan bukan lagi kesalahan kecil yang boleh dihapuskan begitu sahaja dengan lafaz istighfar atau dijadikan seolah-olah selesai melalui perjalanan umrah. Ini ialah dosa besar yang membabitkan kezaliman terhadap umat Islam yang sekian lama diperdaya. Anda termasuk dalam kalangan manusia yang wajar menginsafi amaran Rasulullah SAW:

Ertinya: Akan sampai masa kepada manusia di aman seseorang itu tidak lagi mempedulikan di mana dia memperolehi hartanya sama ada dari sumber yang halal atau haram (Sahih al-Bukhari, 2083).

Fikir untung yang lebih kekal di akhirat berbanding sedikit keuntungan dunia. Ingat firman Allah ini:

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya (al-Ma’idah 5:100).

Pengusaha yang terbukti terlibat wajar dikenakan hukuman penjara setimpal. Perbuatan memperdaya pengguna dan mencemarkan kesucian makanan umat Islam demi keuntungan tidak boleh dikompromi. Mereka mesti bertanggungjawab atas pengkhianatan amanah yang dilakukan.

Masyarakat sivil pula perlu terus proaktif membongkar penyelewengan ini, terutama apabila agensi kerajaan berdepan kekangan birokrasi dan bidang kuasa. Semoga Allah merahmati NGO-NGO yang berani mendedahkan isu ini demi mempertahankan hak pengguna dan kesucian makanan umat Islam.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini