MUKADIMAH
NEGARA tidak terlepas daripada tempias akibat ketegangan geopolitik yang membabitkan peperangan antara Russia dan Ukraine serta Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mengganggu rantaian bekalan apabila samudera perdagangan utama, Selat Hormuz menerima ancaman keselamatan.
Meskipun tekanan geopolitik memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia dilihat mempunyai kekuatan tersendiri walaupun wujud ketegangan ekonomi antara dua blok Barat (AS) dan Timur (China).
Bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan ROSHIHAN ANNUAR YUB serta jurugambar dan juruvideo, FARIZ RUSADIO dan MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM mengupas ke depan perkembangan perdagangan antarabangsa.
UTUSAN: Adakah ketegangan geopolitik dunia menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan?
IRMOHIZAM: Ketegangan geopolitik dunia memang memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa, termasuk keputusan pelaburan, rantaian bekalan dan akses ke pasaran. Sebab itu, kita perlu terus memastikan Malaysia kekal relevan sebagai rakan perdagangan yang dipercayai.
Dari segi kedudukan global, Malaysia disenaraikan sebagai negara perdagangan ke-24 dan pengeksport ke-25 terbesar dunia. Kedudukan itu menunjukkan Malaysia mempunyai asas perdagangan yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan kedudukan itu, adakah Malaysia benar-benar terjejas atau berdaya tahan?
Melihat kepada prestasi terkini, saya berpandangan Malaysia mempunyai potensi yang kukuh untuk memperbaiki kedudukan tersebut.
Data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu menunjukkan jumlah perdagangan negara meningkat 27 peratus kepada RM2.514 trilion, manakala eksport berkembang sebanyak 31.2 peratus kepada RM1.356 trilion, mengatasi pertumbuhan import.
Apa yang lebih penting, prestasi tersebut kekal memberangsangkan meskipun Malaysia berdepan perubahan tarif, sekatan perdagangan antarabangsa dan gangguan laluan perdagangan utama, termasuk penutupan Selat Hormuz sejak akhir Februari lalu.
Adakah kedudukan itu memberi jaminan ke depan untuk Malaysia?
Kita tidak boleh mengambil kedudukan dan prestasi semasa sebagai jaminan bahawa Malaysia akan terus kebal daripada kesan ketegangan geopolitik sepanjang tahun.
Perubahan tarif, sekatan teknologi dan gangguan rantaian bekalan masih boleh mempengaruhi kos, mengubah corak perdagangan serta mempengaruhi keputusan pelaburan.
Sebab itu, kita bukan sahaja perlu menarik lebih banyak pelaburan, tetapi memastikan pelaburan tersebut membawa masuk teknologi, kepakaran dan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan.
Negara kita mempunyai ramai tenaga kerja dan graduan terlatih, justeru kita perlu memanfaatkan kelebihan ini untuk membangunkan kemahiran dalam pelbagai bidang.
Malaysia mempunyai hubungan perdagangan rapat dengan AS, China dan negara ASEAN. Adakah kebergantungan kepada pasaran utama ini satu kekuatan atau risiko strategik yang perlu dikurangkan?
Hubungan perdagangan yang rapat dengan AS, China dan negara ASEAN merupakan satu kekuatan kepada Malaysia kerana pasaran ini menyediakan peluang eksport, pelaburan dan akses kepada rantaian bekalan global.
Data Matrade bagi Januari hingga Ogos lalu menunjukkan perdagangan Malaysia dengan ASEAN mencecah RM641.40 bilion, China RM456.68 bilion dan AS RM328.84 bilion. Secara keseluruhan, ketiga-tiga pasaran ini menyumbang kira-kira 57 peratus daripada jumlah perdagangan negara bagi bulan Ogos 2026.
Angka ini mewakili sejumlah besar perdagangan negara sekali gus membuktikan betapa pentingnya hubungan tersebut kepada ekonomi Malaysia.
Adakah memadai dengan kekuatan eksport sedia ada atau perlu mempelbagaikan pasaran supaya lebih banyak peluang dapat diterokai?
Ini sebenarnya mengingatkan kita tentang keperluan untuk terus mempelbagaikan pasaran eksport supaya kita tidak terlalu bergantung kepada beberapa pasaran utama sahaja.
Kebergantungan yang sangat tinggi kepada pasaran utama sahaja juga boleh menjadi risiko apabila berlaku ketegangan geopolitik, perubahan tarif atau kemerosotan ekonomi. Ini bermakna, kita perlu terus memperluas peluang ke pasaran lain.
Dalam hal itu, saya memuji usaha Malaysia yang terus memperluas capaian eksport ke pasaran bukan tradisional.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, perdagangan Malaysia dengan rantau Afrika, Asia Barat, Asia Tengah dan Amerika Latin dilaporkan meningkat 18.5 peratus kepada RM59.16 bilion, sekali gus mencerminkan kemajuan dalam usaha mempelbagaikan pasaran eksport negara.
Apakah peluang bagi Malaysia dalam mendepani cabaran yang wujud di antara kedua-dua blok utama itu?
Malaysia perlu mengambil pendekatan yang seimbang dan pragmatik. Kita tidak seharusnya mengurangkan hubungan dengan mana-mana rakan dagangan utama, sebaliknya terus memperkukuh hubungan sedia ada sambil mempelbagaikan pasaran dan meneroka peluang ekonomi baharu.
Adakah wajar negara membuat pilihan atau mengutamakan kepentingan dasar luar yang bebas?
Pada hemat saya, Malaysia tidak perlu memilih antara AS dan China. Kedua-duanya merupakan rakan ekonomi yang penting dengan kelebihan tersendiri, dan hubungan dengan kedua-dua negara perlu diurus berdasarkan kepentingan nasional, bukannya tekanan untuk memihak kepada mana-mana kuasa.
Saya percaya pendekatan Malaysia perlu berteraskan dasar luar yang bebas, berprinsip dan proaktif. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri pada Julai lalu, Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan sedia ada, membina kerjasama baharu dan mempelbagaikan hubungan ekonomi bagi mengukuhkan daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Sebagai pemain dalam acara perniagaan, pameran perdagangan antarabangsa dan forum perniagaan, apakah perkembangan perdagangan antarabangsa yang boleh dilihat melalui WTC?
Perkembangan perdagangan antarabangsa dapat dilihat melalui penganjuran pelbagai acara penting di WTCKL yang menghubungkan syarikat tempatan dengan pemain antarabangsa, membuka peluang kerjasama strategik, menarik pelaburan dan meneroka pasaran baharu.
Di WTCKL, kami mengamalkan pendekatan terbuka dengan mengalu-alukan penganjur dari pelbagai negara, selagi setiap penganjuran mematuhi undang-undang dan langkah keselamatan yang ditetapkan.
Kami mahu terus menjadikan WTCKL sebagai platform yang menghubungkan Malaysia dengan peluang perdagangan global.
Bagaimanakah Malaysia boleh mengimbangi hubungan perdagangan dan pelaburan dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu, tanpa menjejaskan kepentingan nasional?
Bagi saya, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang terbuka dan seimbang dengan terus menggalakkan perdagangan serta pelaburan daripada kedua-dua negara. Namun, setiap kerjasama perlu dinilai berdasarkan manfaat ekonomi dan implikasinya terhadap keselamatan negara.
Dengan cara ini, Malaysia dapat terus meneroka peluang ekonomi baharu, mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dan pada masa yang sama melindungi kepentingan nasional.
Bagaimanakah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia mampu menembusi pasaran antarabangsa apabila berdepan situasi geopolitik yang tidak menentu?
PMKS Malaysia perlu lebih strategik dalam memilih pasaran, memahami keperluan pembeli dan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan perdagangan global untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Pertama, PMKS perlu mengambil peluang menyertai pameran perdagangan antarabangsa untuk memperkenalkan produk, bertemu bakal pembeli, mengkhususkan kumpulan sasaran, dan membina hubungan perniagaan.
Mereka perlu bijak memilih jenis pameran perdagangan yang berimpak dan disertai ramai pengunjung. Usaha ini boleh diperkukuh dengan memanfaatkan platform digital bagi meluaskan capaian promosi pasaran dan mengekalkan hubungan dengan bakal pelanggan.
Dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu ini, persediaan, kebolehsuaian dan hubungan perniagaan yang dipercayai adalah antara faktor penting untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Adakah terdapat sokongan-sokongan daripada agensi lain untuk membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa dalam situasi yang mencabar sekarang?
PMKS boleh memanfaatkan sokongan agensi seperti Matrade untuk mendapatkan maklumat pasaran dan akses kepada peluang eksport, serta Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bagi usahawan francais yang ingin mengembangkan jenama Malaysia ke luar negara.
Sokongan sebegini boleh membantu perniagaan membuat persediaan yang lebih baik sebelum memasuki pasaran baharu.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) di New York, AS yang menghubungkan lebih 300 lokasi WTC di hampir 100 negara dan wilayah, saya turut berpeluang berhubung dengan pemain perniagaan antarabangsa.
Ada pemilik perniagaan dari luar negara yang menemui saya untuk membina rangkaian hubungan dan memahami peluang dalam pasaran Malaysia.
Ini menunjukkan bahawa peluang perdagangan bukan hanya tentang bagaimana syarikat Malaysia menembusi pasaran luar, tetapi juga bagaimana kita menarik minat syarikat antarabangsa untuk bekerjasama dengan perniagaan tempatan.
Saya percaya, kerjasama ini juga merupakan salah satu cara untuk PMKS kita menembusi ke pasaran antarabangsa.
Berdasarkan penganjuran persidangan, menghimpunkan pemain-pemain antarabangsa, apakah hasil yang boleh dilihat dari segi pelaburan, kontrak perdagangan serta peluang kepada syarikat tempatan?
Penganjuran persidangan, pameran perdagangan dan forum perniagaan antarabangsa membuka ruang yang penting untuk Malaysia membina hubungan ekonomi dengan pasaran luar.
Namun, hasil yang paling bernilai bukan sekadar jumlah acara atau delegasi yang hadir, tetapi hubungan yang dapat diteruskan menjadi kerjasama perniagaan, peluang pelaburan dan kontrak perdagangan.
Dalam pengalaman saya menerajui WTCKL, sebenarnya semua acara antarabangsa yang diadakan di tempat kami ini, menghimpunkan ramai pemain industri, pelabur dan pemilik perniagaan yang sebelum ini tidak pernah bertemu, untuk saling mengenali satu sama lain.
Pertemuan ini boleh membuka ruang untuk mereka memahami pasaran Malaysia, mengenal pasti rakan strategik dan meneroka peluang kerjasama. Kami menyediakan lokasi dan membuka jalan bagi mereka.
Namun, hasil akhirnya bergantung pada susulan dan kesediaan pihak yang terlibat untuk membina hubungan tersebut.
Justeru, bagaimana peluang dan manfaat itu boleh direbut oleh syarikat tempatan?
Apabila lebih banyak acara antarabangsa berlangsung di Malaysia, syarikat tempatan berpeluang terlibat sebagai pembekal, penyedia perkhidmatan atau rakan perniagaan kepada penganjur dan peserta antarabangsa.
Jika hubungan ini dibina dengan baik, peluangnya bukan hanya terhad kepada perbelanjaan sepanjang acara, tetapi boleh berkembang kepada nilai jangka panjang dan akses kepada pasaran baharu.
Bagi saya, kejayaan sebenar ialah apabila hubungan yang terjalin melalui acara antarabangsa diterjemahkan kepada peluang yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia, khususnya syarikat tempatan yang ingin berkembang ke peringkat global.
Sebagai hab perdagangan serantau, apakah kelebihan sebenar yang ada pada Malaysia berbanding negara jiran dalam merebut peluang perdagangan antarabangsa dan adakah terdapat ruang-ruang yang perlu ditambah baik?
Antara kekuatan utama Malaysia ialah kepelbagaian sektor eksport kita. Sektor elektrik dan elektronik merupakan penyumbang besar, dengan eksport mencecah RM656.14 billion bagi Januari hingga Ogos 2026.
Kita juga mempunyai kekuatan dalam pengeksportan produk petroleum, yang turut menyumbang sebanyak RM11.07 billion bagi bulan Ogos sahaja dalam pertumbuhan eksport negara.
Kekuatan perdagangan Malaysia juga terletak pada industri halal, adakah itu juga merupakan peluang yang luas untuk terus diterokai?
Saya melihat industri halal mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi eksport Malaysia ke pasaran antarabangsa. Eksport halal negara mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global turut diiktiraf apabila kita kekal di tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama 12 tahun berturut-turut.
Bagi saya, kita perlu memanfaatkan kekuatan ini untuk meluaskan pasaran halal Malaysia dan membantu lebih banyak syarikat tempatan mengeksport produk mereka. Namun, kekuatan itu perlu diterjemahkan kepada peluang yang lebih besar untuk syarikat tempatan.
Bagaimana acara perniagaan atau pameran perdagangan dapat menjadi platform padanan bagi pengusaha industri halal tempatan di peringkat antarabangsa?
Dari perspektif industri acara perniagaan, pameran perdagangan dan forum antarabangsa boleh menjadi platform untuk menghubungkan syarikat Malaysia dengan pembeli, pelabur dan rakan strategik dari luar negara.
Pada masa yang sama, kita perlu membantu lebih banyak PMKS meningkatkan daya saing dan meneroka pasaran baharu, termasuk Asia Barat, Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.
Bagi saya, kejayaan bukan sekadar mengekalkan kekuatan eksport sedia ada, tetapi memastikan lebih banyak syarikat tempatan dapat berkembang melalui peluang perdagangan antarabangsa.
Berkaitan dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA), adakah syarikat Malaysia benar-benar memanfaatkan kemudahan FTA untuk memperluas eksport, atau sebahagian besar peluang masih dinikmati syarikat besar?
FTA memang membuka peluang besar kepada syarikat Malaysia untuk meluaskan eksport. Namun, persoalannya ialah sejauh mana PMKS kita benar-benar dapat memanfaatkan peluang tersebut.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2026, perdagangan Malaysia dengan negara rakan FTA meningkat 26.2 peratus kepada RM1.42 trilion, manakala eksport ke pasaran ini meningkat 22.4 peratus kepada RM738 bilion. Ini menunjukkan betapa pentingnya FTA kepada perdagangan negara.
Namun, pertumbuhan itu tidak semestinya bermakna semua syarikat mendapat manfaat yang sama. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada bulan Julai lalu, eksport PMKS Malaysia meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025, tetapi ia hanya menyumbang 14.7 peratus daripada jumlah eksport negara.
Itu menunjukkan masih ada ruang untuk lebih banyak PMKS menembusi pasaran antarabangsa.
Justeru, bagaimana agensi-agensi kerajaan membantu PMKS bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang dan mengenal pasti manfaat dalam kelebihan FTA?
Antara langkah penting ialah membantu PMKS mengenal pasti pasaran yang sesuai, memahami syarat untuk menikmati tarif keutamaan dan mendapatkan maklumat yang lebih mudah tentang FTA yang relevan dengan produk mereka.
Agensi seperti Matrade dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh memainkan peranan melalui bimbingan yang praktikal dan akses kepada maklumat pasaran.
Selain itu, pameran perdagangan dan sesi padanan perniagaan boleh membantu PMKS bertemu bakal pembeli serta memahami keperluan pasaran yang ingin ditembusi.
Jadi, FTA juga merupakan antara peluang yang baik untuk PMKS?
FTA membuka peluang kepada PMKS untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih luas. Bagi saya, kejayaan FTA bukan sekadar meningkatkan perdagangan negara, tetapi juga membantu lebih banyak PMKS mendapatkan pelanggan baharu, meluaskan pasaran dan meningkatkan eksport mereka.
Apakah perubahan paling penting yang diharapkan dalam memastikan Malaysia beralih daripada sekadar pengeksport barangan kepada ekonomi yang menghasilkan produk, teknologi dan perkhidmatan bernilai tinggi?
Bagi saya, perubahan paling penting ialah kita perlu beralih daripada hanya menghasilkan barangan kepada membangunkan produk, teknologi dan kepakaran sendiri.
Kita perlu melabur dalam penyelidikan, teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya syarikat tempatan mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah lebih besar.
Justeru, adakah peluang penerokaan itu menjadi lebih luas melalui pameran perdagangan antarabangsa?
Dalam industri acara perniagaan, saya melihat pameran perdagangan dan forum antarabangsa sebagai salah satu platform untuk syarikat tempatan mengenali teknologi baharu, bertukar kepakaran dan membina kerjasama dengan pemain industri global.
Hubungan itu boleh membuka ruang kepada pemindahan pengetahuan dan pembangunan keupayaan tempatan.
Akhirnya, matlamat kita bukan sekadar meningkatkan eksport, tetapi memastikan lebih banyak nilai, kepakaran dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan dalam negara. – UTUSAN











