BRUSSELS: Israel menyekat kanak-kanak yang kehilangan anggota badan di Gaza daripada mendapatkan rawatan di luar negara, dakwa sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Euro-Med Human Rights Monitor.
Menurut pertubuhan itu, sekatan perjalanan yang dikenakan Israel turut meliputi pemindahan pesakit bagi mendapatkan rawatan perubatan, sekali gus menghalang ratusan kanak-kanak daripada mendapatkan rawatan khusus di luar negara.
Pemantau hak asasi manusia itu melaporkan pada Rabu bahawa seramai 1,134 kanak-kanak di Gaza telah menjalani amputasi anggota badan akibat serangan Israel.
Namun, ia hanya sebilangan kecil menerima rawatan perubatan jangka panjang yang diperlukan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, seramai 2,300 individu yang kehilangan anggota badan, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa, telah menjalani penilaian bagi mendapatkan rawatan antara September 2024 hingga Mei 2026.
Bagaimanapun, hanya 500 orang atau kurang daripada satu perempat menerima anggota palsu kekal.
“Ketika ini, hanya lapan pakar prostetik dan ortotik bertauliah tersedia di Gaza,” menurut pemantau itu.
Organisasi yang berpangkalan di Geneva itu melaporkan bahawa kemudahan peralatan untuk menghasilkan, memasang, menyelenggara dan melaraskan anggota palsu di wilayah berkenaan masih tidak mencukupi.
“Penafian berterusan terhadap rawatan, pemulihan dan pendidikan sewajarnya berisiko menjadikan penderitaan yang dialami kanak-kanak ini sebagai kesengsaraan sepanjang hayat,” menurut organisasi itu.
“Kekurangan pemantauan perubatan susulan serta kegagalan melaraskan anggota palsu seiring tumbesaran kanak-kanak boleh menyebabkan komplikasi lanjut, kesakitan kronik dan kesukaran bergerak yang semakin meningkat,” tambahnya.
Organisasi itu turut menjelaskan bahawa pasukan pakar memerlukan permit kemasukan ke wilayah berkenaan untuk menjalankan tugas dan melatih pasukan tempatan.
Israel bersetuju dengan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat pada Oktober 2025, tetapi sejak itu, rejim Zionis terus mara lebih jauh ke wilayah Gaza. – AGENSI











