Micron Technology beri bonus sehingga 68 bulan gaji kepada pekerja - Utusan Malaysia

Micron Technology beri bonus sehingga 68 bulan gaji kepada pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Pekerja Micron Technology di Taiwan akan menerima bonus bersamaan 35 hingga 68 bulan gaji bagi tahun fiskal 2026, dengan pampasan tunai minimum NT$1.7 juta atau kira-kira RM219,020, ketika pengeluar cip Amerika Syarikat (AS) itu berdepan pertikaian berterusan dengan kesatuan pekerja.

Micron berkata, pembayaran kepada pekerja itu adalah yang terbesar pernah diberikannya, dengan lebih 60,000 kakitangan di seluruh dunia bakal menerima ganjaran tahun fiskal 2026 susulan apa yang disifatkan sebagai “tahun luar biasa bagi syarikat”.

Pengumuman itu dibuat selepas kesatuan yang mewakili kira-kira dua pertiga tenaga kerja Micron di Taiwan menunjukkan sokongan meluas dalam kalangan ahli untuk melancarkan mogok.

Kesatuan Taoyuan dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya masih belum mencapai persetujuan dengan Micron dalam pertikaian berkenaan dan terus menuntut perubahan kepada sistem ganjaran syarikat.

Antara tuntutan utama ialah supaya 15 peratus daripada keuntungan operasi diperuntukkan kepada bonus pekerja.

“Jika syarikat tidak memberi maklum balas terhadap tuntutan ini, kesatuan akan terus bergerak ke arah mogok,” katanya.

Ganjaran bagi pekerja Taiwan yang menyertai Micron sebelum 29 Ogos 2025 turut merangkumi bonus tunai NT$1 juta, bersamaan kira-kira RM128,836, bagi tahun fiskal 2026.

Bagi jurutera peringkat permulaan, jumlah ganjaran purata mencecah NT$3.4 juta atau kira-kira RM438,041.

Daripada jumlah itu, purata NT$2.9 juta atau kira-kira RM373,623 diberikan dalam bentuk pampasan tunai, manakala baki terdiri daripada ekuiti berdasarkan nilai ketika pemberian.

Micron berkata, setiap pekerja turut akan menerima pemberian ekuiti tahunan.

Bagaimanapun, pertikaian dengan kesatuan masih belum selesai.

Micron menggaji kira-kira 15,000 pekerja di Taiwan, yang menjadi antara hab pembuatan terpenting syarikat itu.

Pengeluar cip memori AS berkenaan berkata ia sudah melabur lebih NT$1.6 trilion di Taiwan.

Micron kini berusaha mengelakkan krisis seperti yang pernah dihadapi pesaingnya dari Korea Selatan, Samsung Electronics, pada Mei lalu.

Ketika itu, rancangan mogok selama 18 hari membabitkan sehingga 48,000 anggota kesatuan Samsung dibatalkan selepas rundingan saat akhir menghasilkan persetujuan untuk mewujudkan dana bonus khas bernilai 10.5 peratus daripada keuntungan operasi bahagian cip, tertakluk kepada sasaran keuntungan.

Prospek mogok di Samsung sebelum itu mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan cip dan kesan ekonomi lebih luas terhadap Korea Selatan.

Kesatuan Micron di Taiwan sebelum ini berkata, skim perkongsian keuntungan di Samsung dan SK Hynix menyebabkan jurang ganjaran antara pekerja Micron dan pekerja syarikat cip Korea Selatan semakin melebar.

Berdasarkan kadar pertukaran semasa sekitar AS$1 bersamaan RM4.0703, NT$1.7 juta adalah kira-kira RM219,020, manakala NT$3.4 juta bersamaan kira-kira RM438,041. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×