SEKTOR pembuatan dijangka berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2027, disokong pertumbuhan sederhana dalam industri berorientasikan eksport.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, pertumbuhan itu akan dipacu permintaan berterusan terhadap produk dalam kitaran semikonduktor global pada tahun hadapan.
“Pertumbuhan segmen elektrik dan elektronik (E&E) pula dijangka kekal stabil, disokong perkembangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) meskipun terdapat penyederhanaan dalam aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.
“Pelaksanaan berterusan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) akan menyokong keupayaan domestik dalam aktiviti reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju.
“Industri berorientasikan domestik pula dijangka mendapat manfaat daripada perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelancongan yang berterusan,” katanya.
Promosi acara yang giat dilaksanakan di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027) dijangka menjana permintaan tambahan bagi makanan, minuman dan barangan pengguna lain.
Aktiviti pembinaan yang terus berkembang, khususnya projek perindustrian dan infrastruktur, turut menyokong permintaan terhadap bahan binaan dan bahan perantaraan lain,” katanya.
Sementara itu, sektor pertanian dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan marginal sebanyak 0.5 peratus pada 2027.
“Subsektor kelapa sawit diunjur mencatat penurunan marginal dalam hasil buah tandan segar (BTS) dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), selaras kitaran biologi hasil.
“Walau bagaimanapun, kualiti BTS yang lebih baik dijangka menyokong peningkatan marginal dalam kadar perahan minyak.
“Harga MSM diunjur kekal tinggi dengan purata antara RM4,450 hingga RM4,600 setan pada 2027 berbanding RM4,300 hingga RM4,500 pada 2026, meskipun pengeluaran dijangka menyusut secara marginal.
“Unjuran harga itu selari dengan bekalan yang lebih terhad berikutan permintaan global yang berterusan, khususnya daripada program biodiesel, sekali gus mengekalkan pendapatan sektor perladangan,” katanya.
Pemulihan pengeluaran agro-makanan, terutama subsektor ternakan dan perikanan pula dijangka terus menyokong pertumbuhan, dipacu perbelanjaan isi rumah yang mampan serta permintaan berkaitan pelancongan.
“Usaha memperluas penanaman padi dan menambah baik sistem pengairan, di samping peningkatan penggunaan teknologi pertanian, dijangka menyokong pengeluaran dan produktiviti makanan.
“Subsektor getah pula dijangka pulih didorong pemulihan semula kawasan matang pokok getah yang tidak ditoreh serta pengukuhan inisiatif penanaman getah oleh Kerajaan.
“Walau bagaimanapun, tahap pemulihan pengeluaran hasil merentas subsektor lain dijangka kekal stabil bergantung kepada keadaan cuaca dan kos input,” katanya. –UTUSAN











