EKSPORT kasar pada 2027 diunjur meningkat sebanyak 3.0 peratus, didorong permintaan yang menggalakkan terhadap barangan pembuatan, perlombongan dan pertanian.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, eksport barangan pembuatan dijangka berkembang sebanyak 2.6 peratus berikutan prestasi stabil industri elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya semikonduktor, yang disokong permintaan berterusan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 27 peratus pada 2027 disumbangkan oleh aktiviti berkaitan teknologi yang lebih tinggi serta peningkatan permintaan terhadap produk E&E daripada rakan dagang utama.
“Prestasi kukuh ini sejajar dengan perdagangan global yang lebih teguh dan pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama seperti diunjur oleh IMF pada Julai 2026.
“Justeru, Malaysia dijangka meraih manfaat daripada prospek positif yang ditunjukkan melalui permintaan lebih tinggi bagi produk E&E dan produk bukan E&E,” katanya.
Selain itu, eksport barangan perlombongan dijangka berkembang sebanyak 8.3 peratus berikutan eksport yang mampan bagi gas asli cecair (LNG), petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam.
“Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan lebih kukuh daripada rakan dagang utama berikutan kepelbagaian dan perluasan pasaran.
“Eksport barangan pertanian juga diunjur meningkat sebanyak 4.8 peratus didorong oleh eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih tinggi susulan peningkatan volum eksport dan harga komoditi yang menggalakkan,” katanya.
Sementara itu, import kasar pula dijangka berkembang sebanyak 3.5 peratus, dipacu import barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan yang lebih tinggi.
“Import barangan perantaraan dijangka meningkat sebanyak 3.4 peratus berikutan prospek optimistik dalam sektor pembuatan.
“Sehubungan dengan itu, import barangan modal diunjur berkembang sebanyak 3.9 peratus berikutan pelaburan lebih kukuh dalam aktiviti berkaitan perkhidmatan, pengembangan sektor pembuatan dan naik taraf infrastruktur teknologi.
“Import barangan penggunaan dijangka meningkat sebanyak 3.1 peratus antaranya disumbangkan oleh platform pembelian dalam talian yang rancak dan berdaya saing,” katanya. –UTUSAN











