PETALING JAYA: Perdagangan semikonduktor global dijangka mencatatkan pertumbuhan pesat sehingga 90 peratus tahun ke tahun, sekali gus memberi kelebihan strategik kepada Malaysia sebagai penerima manfaat utama kitaran peningkatan teknologi dunia.
Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, unjuran Pertubuhan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) itu menunjukkan prestasi ekonomi negara kini semakin dipengaruhi oleh kitaran teknologi global.
Katanya, trend peningkatan berkenaan sudah mula kelihatan dan Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan lonjakan tersebut berikutan integrasi kukuh negara dalam rantaian bekalan cip global.
“Prestasi pertumbuhan ekonomi terkini dilihat semakin terikat dan tertumpu kepada kitaran peningkatan teknologi global.
“WSTS menjajarkan kebarangkalian kukuh untuk perdagangan semikonduktor tahun ini meningkat 90 peratus tahun ke tahun dan kita memang sedang menyaksikan arah aliran itu berlaku,” katanya ketika Pembentangan Prospek Pasaran sempena Tinjauan Pasaran AmBank BizDialogue: Apakah Implikasi Realiti Ekonomi Malaysia terhadap Belanjawan 2027.
Mengulas lanjut, beliau berkata, corak pemulihan teknologi ketika ini berbeza berbanding kitaran sebelum ini kerana pertumbuhan tidak lagi tersebar secara merata ke semua sektor.
Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada negara dan industri yang mempunyai keaslian rantaian nilai teknologi serta berteraskan produktiviti.
“Keadaan ini menyebabkan pelabur antarabangsa menjadi semakin selektif. Mereka tidak lagi sekadar melihat kepada angka pertumbuhan kadar utama sesebuah negara.
“Pelabur kini menilai dari mana pertumbuhan itu datang, sama ada ia didorong oleh sektor teknologi serta disokong oleh peningkatan produktiviti yang mampan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa momentum kukuh sektor semikonduktor perlu diterjemahkan kepada limpahan ekonomi domestik yang lebih meluas bagi memastikan faedahnya dapat dirasai oleh sektor-sektor lain.
Lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 0.20 peratus kepada AS$103.29 (RM421.12) setong berbanding RM405.43 pada Rabu.
Mengulas mengenai harga minyak mentah Brent, beliau berkata minyak diunjur berada pada paras AS$84 sehingga AS$90 setong bagi tahun kewangan 2026 berikutan ketidaktentuan pasaran yang menyaksikan harga semasa bergerak tidak menentu pada paras tinggi sekitar AS$99 hingga AS$100 setong.
Ujarnya, pelarasan itu dipacu oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing membabitkan konflik AS-Iran serta pertempuran yang kembali sengit di Eropah Timur antara Rusia dan Ukraine.
“Kejutan tenaga berkenaan secara efektif mengganggu trend disinflasi global, sekali gus mengukuhkan keperluan kepada keadaan monetari global yang lebih ketat dan memburukkan lagi penyesuaian semula harga berterusan dalam pasaran bon berdaulat.
“Risiko kebarangkalian rendah sebenar akan berlaku sekiranya penyesuaian semula pasaran bon global dan kejutan tenaga berlaku secara serentak.
“Harga minyak yang lebih tinggi boleh mengekalkan inflasi pada paras tinggi, memaksa hasil bon naik dan memburukkan tekanan pasaran bon secara global,” katanya. – UTUSAN











