Penyedia perkhidmatan profesional perlu kawalan lebih ketat bendung jenayah kewangan 

Penyedia perkhidmatan profesional perlu kawalan lebih ketat bendung jenayah kewangan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan profesional yang merangkumi sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditetapkan (DNFBP) perlu memperkukuh usaha mengesan serta mencegah aktiviti mencurigakan bagi mengekang risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, penyedia perkhidmatan profesional memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan awal dalam memastikan struktur korporat dan perkhidmatan perundangan tidak disalahgunakan oleh sindiket jenayah untuk menyembunyikan pemilikan serta sumber dana haram.

Katanya, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi kewangan tidak mampu menangani jenayah kewangan secara bersendirian tanpa kerjasama sektor profesional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jauh sebelum dana haram memasuki sistem kewangan, sesebuah syarikat mungkin sudah diperbadankan, transaksi mungkin telah distrukturkan dan aturan perundangan diwujudkan.

“Pada setiap peringkat ini, ada pihak yang bertindak sebagai penjaga pintu. Malaysia memerlukan pertimbangan, ketelitian dan profesionalisme semua pihak yang membentuk landskap korporat dan perundangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pematuhan DNFBP 2026 di Sasana Kijang, di sini, semalam.

Menurut Marzunisham, tahun ini menandakan 25 tahun sejak penggubalan undang-undang antipengubahan wang haram pada 2001, yang menyaksikan Malaysia terus memperkukuh perundangan, institusi dan keupayaan bagi memerangi jenayah kewangan.

Bagaimanapun, katanya, ancaman berkenaan semakin kompleks apabila rangkaian jenayah terancang merentas sempadan memanfaatkan teknologi, mengeksploitasi struktur perundangan dan menyesuaikan taktik bagi mengatasi kawalan sedia ada.

Menurutnya, Penilaian Ancaman Jenayah Terancang Rentas Negara bagi Asia Tenggara oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenal pasti peguam dan akauntan sebagai antara pihak yang boleh menyediakan khidmat khusus bagi memudahkan kegiatan rangkaian jenayah.

Beliau turut menarik perhatian terhadap peningkatan penggunaan akaun keldai korporat, dengan data Portal Penipuan Kebangsaan menunjukkan trend peningkatan akaun berkenaan, sekali gus mencerminkan usaha sindiket menggunakan entiti korporat untuk menyembunyikan aliran kewangan haram.

Katanya, penyedia perkhidmatan profesional perlu mengamalkan sikap skeptisisme profesional, mengemukakan soalan kritikal dan mencabar percanggahan maklumat, selain berani menolak urusan yang diragui.

“Apabila seseorang profesional mengenal pasti aktiviti mencurigakan, enggan memudahkan urusan yang meragukan atau mengemukakan laporan transaksi mencurigakan, mereka bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia, sebaliknya membantu menutup ruang yang cuba dieksploitasi penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan risiko juga perlu diperkukuh, khususnya dalam menilai identiti pelanggan, sumber dana, aktiviti perniagaan dan tujuan transaksi.

Perkembangan perkhidmatan digital, termasuk proses pengenalan pelanggan secara dalam talian, hubungan perniagaan maya dan penyampaian perkhidmatan rentas sempadan, katanya, meningkatkan kecekapan tetapi turut membuka peluang baharu kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti serta memalsukan maklumat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan BNM memandang serius ketidakpatuhan terhadap keperluan pencegahan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (AML/CFT/CPF).

Sebagai contoh, katanya, BNM bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru-baru ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang setiausaha syarikat kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan berkaitan warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan antarabangsa.

Dalam kes berasingan, sebuah bank pelaburan Labuan turut dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh BNM dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan berikutan kelemahan ketara dalam usaha wajar pelanggan yang menjejaskan keupayaan firma itu menilai kemungkinan penglibatan pelanggan dalam aktiviti haram di luar negara, selain kelewatan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan.

Marzunisham berkata, kedua-dua kes itu membuktikan kelemahan usaha wajar, pemantauan dan pelaporan boleh memberi ruang kepada penjenayah untuk beroperasi.

“Pematuhan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kewajipan kawal selia, tetapi juga tanggungjawab profesional untuk mempertahankan kepercayaan yang diberikan kepada setiap profesion,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pengawal selia, agensi penguatkuasaan dan penyedia perkhidmatan profesional perlu dipertingkatkan melalui perkongsian maklumat serta tindakan bersama bagi menangani ancaman jenayah kewangan yang semakin canggih.

BNM akan melaksanakan Penilaian Risiko Kebangsaan seterusnya pada 2027 bagi menilai dengan lebih mendalam risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang dihadapi sektor DNFBP.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini