Bank Negara dimohon selaras bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Nepal

Bank Negara dimohon selaras bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Nepal

DR. MANIVANNAN RETHINAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dimohon untuk menerajui satu kerangka bantuan kewangan yang diselaraskan secara berpusat untuk 54 keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal.

Jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, kerangka itu perlu meliputi liabiliti dan aset bagi mengelakkan keluarga terpaksa berurusan secara berasingan dengan pelbagai bank, syarikat insurans serta institusi kewangan.

Katanya, MASFIH menyambut baik pengumuman BNM mengenai kesediaannya memudah cara bantuan kewangan dan sokongan kepada keluarga terjejas selepas 39 hari mengharungi ketidakpastian susulan bencana pada 26 Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berharap BNM dapat mewujudkan satu kerangka bersama dengan langkah bantuan minimum yang jelas, keperluan dokumentasi yang seragam serta prosedur praktikal merentas institusi kewangan.

“Kami tidak mahu 54 keluarga terpaksa mengharungi kemungkinan ratusan proses pentadbiran berasingan yang melibatkan pelbagai institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivannan berkata, MASFIH menghargai pengiktirafan BNM terhadap keadaan yang dihadapi keluarga serta makluman bahawa institusi kewangan boleh mempertimbangkan penangguhan bayaran balik, pengecualian fi dan caj, kelonggaran dokumentasi, pemprosesan tuntutan insurans dan takaful yang dipercepatkan serta sokongan lain.

Katanya, bagi liabiliti atas nama individu yang hilang, MASFIH memohon moratorium sementara atau penangguhan bayaran balik tanpa pengenaan atau pengumpulan faedah, keuntungan, caj bayaran lewat dan caj berkaitan sepanjang tempoh bantuan.

Sekiranya langkah itu tidak dapat dilaksanakan, beliau memohon bantuan lain yang bersesuaian bagi mengelakkan keluarga terus dibebani tambahan faedah, keuntungan atau caj ketika status individu berkenaan dari segi undang-undang belum diputuskan.

Beliau menegaskan, permohonan itu hanya melibatkan liabiliti atas nama individu hilang, termasuk pembiayaan perumahan dan hartanah, kenderaan, peribadi, kemudahan kredit, overdraf serta komitmen kewangan lain, bukannya liabiliti peribadi waris atau ahli keluarga.

“Bagi pembiayaan kenderaan, MASFIH memohon mekanisme yang jelas termasuk kemungkinan penyerahan secara sukarela apabila bayaran tidak lagi mampu ditanggung tanpa waris dianggap sebagai peminjam atau dipertanggungjawabkan secara peribadi terhadap liabiliti individu yang hilang.

“Sekiranya kenderaan diserahkan, ditarik balik atau dijual melalui kaedah lain, sebarang lebihan bersih selepas ditolak baki pembiayaan serta kos dan caj yang sah hendaklah diperakaunkan dan diserahkan kepada individu atau harta pusaka yang berhak menurut undang-undang.

“Sebarang baki tertunggak, faedah, keuntungan, kos dan kesan kewangan lain juga perlu dijelaskan serta dikendalikan secara seragam, manakala keluarga tidak sepatutnya berdepan tindakan kutipan hutang agresif, permintaan dokumen berulang atau keperluan yang tidak seragam,” katanya.

Dalam aspek aset, Manivannan memohon agar mekanisme sah bagi mengenal pasti, memelihara dan mentadbir simpanan, deposit, saham, sekuriti, dana pelaburan, pegangan ASNB/ASB, simpanan KWSP, akaun kewangan digital serta kepentingan perniagaan milik individu yang hilang.

Katanya, mekanisme itu turut perlu meliputi wang yang perlu dibayar kepada individu berkenaan seperti dividen, pendapatan, bayaran balik dan baki kredit, selain polisi insurans serta sijil takaful dan manfaat berkaitan.

“Keluarga tidak sepatutnya perlu mengenal pasti sendiri setiap institusi atau penyedia yang mempunyai akaun, pelaburan, polisi atau kepentingan kewangan insan tersayang.

“Panduan jelas juga diperlukan bagi memelihara aset dan perlindungan insurans serta takaful.

“Ia termasuk pembayaran premium apabila perlu, mengelakkan perlindungan luput atau kehilangan nilai yang tidak perlu serta mengendalikan jumlah yang perlu dibayar sementara menunggu penjelasan status undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) atau wakil bersesuaian perlu dilibatkan bagi membantu menjelaskan kerangka undang-undang berkaitan status individu yang hilang, kuasa waris, pemeliharaan aset, liabiliti, insurans dan takaful dalam keadaan belum ada pengesahan kematian atau status rasmi lain.

“MASFIH telah memohon pertemuan dengan BNM pada minggu hadapan melalui Encik Hasjun Hashim daripada BNMLINK dan berharap tarikhnya dapat disahkan segera, sebaik-baiknya pada Isnin atau Selasa.

“Kami tidak meminta hutang dihapus kira. Kami meminta ruang bernafas, kejelasan, perlindungan aset insan tersayang serta mekanisme yang adil dan berperikemanusiaan ketika status mereka dari segi undang-undang masih belum diputuskan.

“Waris terdekat tidak boleh menjadi mangsa kedua tragedi ini dengan menanggung tekanan kewangan yang boleh dielakkan, kekeliruan pentadbiran atau ketidakpastian undang-undang, selain keperitan menunggu insan tersayang,” katanya.

Pada masa sama, MASFIH meneruskan rayuan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyampaikan kebimbangan keluarga serta mendapatkan kepimpinan dan penyelarasan kerajaan dalam aspek kemanusiaan, perundangan, kewangan dan rentas sempadan.

“Keluarga tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya kejelasan, penyelarasan, perlindungan dan sokongan berterusan kerajaan sambil terus berharap setiap rakyat Malaysia yang hilang ditemukan serta dikembalikan dengan selamat kepada insan tersayang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN