Eksport E&E Malaysia melonjak 66.9 peratus, dipacu permintaan AI - Utusan Malaysia

Eksport E&E Malaysia melonjak 66.9 peratus, dipacu permintaan AI

MALAYSIA perlu melahirkan lebih ramai jurutera khususnya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi memenuhi keperluan industri strategik serta berimpak tinggi menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eksport domestik elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia melonjak 66.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, didorong permintaan global yang kukuh terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), sekali gus dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara hingga tahun depan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, permintaan terhadap produk E&E Malaysia kekal memberangsangkan apabila pengeluar melaporkan tempahan yang kukuh, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas terhadap aktiviti pengeluaran dan eksport bagi beberapa suku akan datang.

Katanya, tempoh tempahan pengeluar E&E ketika ini kekal antara 12 hingga 18 bulan, mencerminkan permintaan global yang masih kukuh terhadap produk industri berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tempahan mereka kekal kukuh antara 12 hingga 18 bulan. Ini menunjukkan permintaan yang kuat masih wujud,” katanya pada taklimat prestasi ekonomi suku ketiga BNM.

Pertumbuhan eksport E&E itu meningkat berbanding 48.2 peratus pada suku kedua 2026 dan 19.8 peratus pada suku pertama tahun ini, mencerminkan permintaan berterusan terhadap semikonduktor serta komponen elektronik yang digunakan dalam infrastruktur AI dan aplikasi pengkomputeran termaju.

Data BNM menunjukkan eksport semikonduktor melonjak 96 peratus kepada RM136 bilion pada suku ketiga, manakala eksport jentera elektrik meningkat 26 peratus kepada RM44 bilion.

Eksport peralatan pejabat dan pengkomputeran turut berkembang 38 peratus kepada RM26 bilion, disokong peningkatan pelaburan global dalam infrastruktur berkaitan teknologi.

Prestasi eksport itu membantu meningkatkan pertumbuhan sektor pembuatan kepada 7.7 peratus pada suku ketiga berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya, dengan industri berorientasikan eksport terus mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, berdasarkan maklum balas daripada pengeluar E&E, permintaan dijangka kekal sihat susulan perkembangan berterusan aktiviti berkaitan AI.

Beliau menjangkakan kitaran peningkatan industri teknologi itu berterusan sehingga 2027, meskipun pada kadar lebih sederhana berbanding pertumbuhan luar biasa yang dicatatkan sebelum ini.

“Kami percaya kitaran peningkatan ini akan berterusan sehingga tahun depan, walaupun pada tahap sederhana berbanding apa yang kita lihat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian struktur ekonomi dan pasaran eksport negara menjadi faktor penting dalam mengurangkan risiko daripada turun naik permintaan global.

“Perkembangan industri E&E ketika ini turut mencerminkan hasil dasar terdahulu yang berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem E&E dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini