Industri sawit negara bersedia penuhi keperluan EUDR - Utusan Malaysia

Industri sawit negara bersedia penuhi keperluan EUDR

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri sawit Malaysia mempunyai asas kukuh bagi memenuhi keperluan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), disokong oleh pelaksanaan pensijilan kemampanan secara mandatori serta pengukuhan sistem kebolehjejakan digital di sepanjang rantaian bekalan.

Setakat ini, sejumlah 92.36 peratus daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman sawit di negara ini telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), merangkumi sekitar 181,000 pekebun kecil persendirian.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, kesiapsiagaan itu terhasil menerusi kerjasama berterusan antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), MPOB, Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pemain industri serta pekebun kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendekatan Malaysia terhadap kemampanan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan peraturan, sebaliknya kita komited membuktikan minyak sawit negara dihasilkan secara bertanggungjawab melalui pensijilan diyakini, data boleh dipercayai dan rantaian bekalan yang telus.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan semua pihak dalam industri, termasuk pekebun kecil persendirian, terus mempunyai peluang untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Usaha kemampanan negara telah dilaksanakan lebih awal sebelum EUDR diperkenalkan, termasuk mewajibkan pensijilan MSPO pada 2020 dan meluaskannya kepada peniaga tandan buah segar (TBS) mulai Julai 2025 bagi memperkukuh kebolehjejakan dari kebun ke kilang.

Malah, standard MSPO 2.0 di bawah MS 2530:2022 menetapkan tarikh akhir pembukaan kawasan hutan pada 31 Disember 2019, iaitu setahun lebih awal berbanding ketetapan EUDR pada 31 Disember 2020.

Bagi mempertingkatkan ketelusan rantaian bekalan, Malaysia turut menghubungkan tiga sistem digital utama secara berperingkat iaitu GeoSAWIT bagi pemetaan poligon dan koordinat sistem penentududukan sejagat (GPS), e-MSPO untuk rekod pensijilan dan audit serta Sawit Intelligent Management System (SIMS) yang merekodkan urus niaga harian.

Integrasi sistem itu membolehkan maklumat lokasi tanaman, rekod pensijilan dan data urus niaga disahkan dengan lebih mudah bagi membantu pengeksport serta pemain industri melaksanakan tanggungjawab usaha wajar masing-masing.

Usaha penyelarasan berkenaan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Produk Pengguna Belanda (NVWA), iaitu pihak berkuasa kompeten Kesatuan Eropah (EU), mengiktiraf MSPO sebagai sistem kawalan swasta.

Selain itu, kesiapsiagaan Malaysia turut disokong oleh komitmen pemuliharaan alam sekitar apabila kira-kira 54.4 peratus daripada keluasan tanah negara atau sekitar 18 juta hektar masih diliputi kawasan hutan.

Bagaimanapun, MPOB mengakui beberapa cabaran masih perlu ditangani terutamanya melibatkan ketepatan rekod tanah, pemetaan kebun pekebun kecil serta kos pengasingan hasil sawit yang mematuhi keperluan pembeli antarabangsa.

“MPOB terus membantu pekebun kecil persendirian menerusi khidmat nasihat teknikal dan bantuan kewangan kerajaan bagi mendapatkan pensijilan MSPO, manakala penglibatan peniaga TBS dalam rekod urus niaga digital membantu mengurangkan beban pelaporan golongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini