KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia menyediakan dana sekurang-kurangnya RM90 juta menerusi Program Pelaburan PKS dengan kerjasama tiga rakan strategik bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah itu, SME Corp memperuntukkan RM45 juta, manakala baki RM45 juta disediakan menerusi kerjasama dengan OSK, Harta Modal dan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Menurutnya, program itu menawarkan dua kaedah pembiayaan kepada PMKS yang layak, iaitu pembiayaan berasaskan hutang dan ekuiti.
“Inisiatif ini bertujuan membantu PMKS memperkukuh kapasiti perniagaan dan mengembangkan operasi, khususnya dalam sektor berimpak tinggi, selain mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan bank.
“Saya berharap PMKS dapat memanfaatkan program baharu ini yang menyediakan dana RM90 juta untuk terus memacu pertumbuhan syarikat masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ibu pejabat baharu dan sambutan ulang tahun ke-30 SME Corp Malaysia, di sini.
Dalam perkembangan lain, Steven Sim berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang meneliti mekanisme perlindungan aliran tunai PMKS bagi menangani masalah kelewatan pembayaran yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan.
“Tempoh pembayaran dalam sesetengah urusan perniagaan boleh mencecah purata 120 hari.
“Ini termasuk kelewatan pembayaran serta wang yang ditahan sebagai jaminan (retention), sekali gus memberi tekanan kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan PMKS.
“Mekanisme itu perlu diperhalusi bagi memastikan PMKS mempunyai kecairan mencukupi untuk menampung keperluan operasi, termasuk latihan pekerja, pembayaran gaji lebih kompetitif, peningkatan produktiviti dan penggunaan teknologi.
“Usaha berkenaan adalah antara pendekatan dalam strategi Pelan Tindakan SCALE 2027 yang dirangka KUSKOP bagi menangani cabaran dihadapi PMKS secara lebih sistematik,” katanya. – UTUSAN











