181 inisiatif pacu kemakmuran Pahang - Utusan Malaysia

181 inisiatif pacu kemakmuran Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri mem­bentangkan Belanjawan Pa­­hang 2027 yang memperke­nalkan 181 inisiatif melibatkan pelbagai sek­tor bagi memperkukuh kese­jahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan eko­nomi serta mem­­­percepat pem­bangunan ne­ge­ri.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 158 inisiatif dilaksanakan menerusi Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang) yang memberi fokus kepada ban­tuan kebajikan, pendidikan, kesihatan, keagamaan, belia, wanita dan golongan sasar, manakala 23 lagi merupakan ini­siatif pembangunan melibat­kan infrastruktur, ekonomi, pe­laburan, alam sekitar dan kemudahan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan bertemakan ‘Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rak­yat Diutamakan’ itu disusun ber­asaskan kemampuan ke­wa­ngan negeri, keperluan pem­bangunan dan kepentingan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, Belanjawan Pa­­hang 2027 digerakkan mene­rusi enam teras utama iaitu memperkasa pendidikan, TVET dan modal insan; memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; memantap­kan tadbir urus, integriti dan ke­cekapan penyampaian per­khid­matan; memperkukuh in­frastruktur dan kemudahan asas rakyat; memelihara alam se­kitar serta mengurus sumber negeri secara lestari; dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kerajaan nege­ri menyasarkan kutipan hasil RM1.507 bilion pada tahun de­pan dengan perbelanjaan me­ngurus berjumlah RM1.502 bi­lion, sekali gus merekodkan le­bihan sebanyak RM5 juta, selain memperuntukkan RM454.4 juta bagi per­belanjaan pemba­ngunan.

“Kejayaan kerajaan negeri me­ngurangkan hutang daripada RM3.3 bilion kepada RM825 juta serta kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut membolehkan le­bih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat,” katanya ketika berucap membentangkan Be­lanjawan Pahang 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini.

Pendidikan, TVET dan modal insan terus diperkasa

Bagi memperkasakan pendi­dikan dan modal insan, seba­nyak RM108.74 juta diperuntuk­kan termasuk RM34 juta bagi Prog­ram Tunas Makmur, bantuan mahasiswa dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 se­orang, bantuan RM1,000 kepa­da pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara serta subsi­di tiket penerbangan ke­pada mahasiswa B40 di Sabah dan Sarawak.

Turut diumumkan peruntu­kan RM6 juta bagi penye­diaan buku rujukan dan latihan, RM8.37 juta bagi Program Sajian Kasih Makmur, RM2 juta Prog­ram Juadah Makmur Pelajar ser­ta peningkatan insentif ke­cemer­langan pelajar kepada RM3 juta.

Kerajaan negeri juga mene­ruskan subsidi Tadika Tahfiz Ne­geri Pahang, pemasangan pa­pan pintar di sekolah agama, pembangunan Akademi Pahang 1st, bantuan komputer riba kepada pelajar IPT, Geran STEM Pahang, pertandingan inovasi ke­cerdasan buatan (AI) antarabangsa dan Program Apresiasi Guru Pahang 1st.

Dalam sektor TVET dan pendi­dikan tinggi pula, kerajaan me­nyediakan biasiswa untuk pe­lajar TVET, pembangunan Pahang Skills, pembangunan kampus UNIQSAAS, bantuan mahasiswa di dalam dan luar negara ser­ta subsidi pembayaran pinja­man PTPTN berjumlah RM5 ju­ta.

Pelaburan dan keusahawanan dirancakkan

Bagi memacu ekonomi, seba­nyak RM167.4 juta diperuntukkan termasuk pelaksanaan Pe­lan Induk Ekonomi Negeri Pa­hang 2030 (PET30), penganjuran Teknologi Revolusi Expo (TREX), Expo Usahawan ASEAN, pembangunan Pelan Induk Start-Up Pahang 2030 serta prog­ram promosi usahawan.

Turut diumumkan ialah Dana Pensijilan Halal Negeri Pahang (PUSHPA) berjumlah RM5 juta, Program Pemantapan Usahawan Muda Pahang 1st RM5 juta, Geran Usahawan iBN Pahang RM5 juta dan Program Usahawan Wanita Pahang 1st RM3 ju­ta.

Bagi membantu peniaga kecil, kerajaan turut menyediakan RM3.5 juta bagi pemberian le­sen perniagaan percuma kepada penjaja yang layak.

Sektor makanan dan pertanian diberi perhatian

Sebanyak RM100.95 juta di­per­untukkan bagi sektor perta­nian, penternakan dan perika­nan termasuk penganjuran MA­HA Pahang 2027, Karnival Ne­layan Darat, Bantuan Baja Pe­tani Pahang 1st, Bantuan Makanan Ikan Nelayan Pahang 1st dan Program Petani Muda Pahang 1st.

Kerajaan turut menyediakan RM10 juta bagi pembinaan kemudahan penyimpanan sejuk untuk nelayan dan RM5 juta bagi pembangunan industri ba­ka kerbau tenusu di negeri ini.

Selain itu, petani serta nela­yan akan menerima bantuan khas RM300 secara sekali bayar.

Pelancongan terus dipromosi

Bagi sektor pelancongan, se­jumlah RM40.4 juta diperun­tukkan bagi memperkukuh in­­dustri pelancongan negeri ter­masuk pembangunan produk pe­lancongan, promosi dan pema­saran di dalam serta luar negara.

Kerajaan turut menyediakan RM550,000 bagi meneruskan subsidi tiket feri kepada pendu­duk Pulau Tioman, sekali gus membolehkan tambang feri per­gi dan balik dikekalkan pada kadar rata RM40 seorang bagi meringankan kos perjalanan pen­duduk pulau itu.

Selain itu, RM21.6 juta disa­lurkan sebagai geran mengurus kepada Tourism Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang, manakala RM13.75 juta diperuntukkan bagi pelbagai program pembangunan ketiga-tiga agensi tersebut.

Bagi memperhebat promosi pelancongan, kerajaan menyediakan RM4.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Eco Pahang Global Tourism Exchange (RM500,000), Chini Fest (RM500,000), Pahang Rail Tourism (RM500,000), Geran Padanan Digital Pelancongan Pahang 1st (RM1 juta), Program Himpunan Golongan Pengusaha Camp Site dan Inap Desa Pahang 1st (RM1 juta) serta Program Pemerkasaan Pelancongan Agro dan Eko Pahang 1st (RM1 juta).

Wan Rosdy berkata, langkah itu bertujuan memastikan sektor pelancongan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri selain membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Tadbir urus diperkukuh, bonus dua bulan gaji penjawat awam

Bagi memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan, kerajaan memperkenalkan Insentif Apresiasi Kepimpinan Setempat Pahang 1st sebanyak RM10,000 secara one-off kepada setiap kumpulan kepimpinan akar umbi melibatkan JPKK, JPKKOA, JKKKB, JKKR dan GPW FELDA dengan peruntukan keseluruhan RM9.83 juta.

Kerajaan turut menyediakan insentif khas RM500 kepada pengerusi komuniti tertentu dan RM200 kepada setiausaha jawatankuasa berkaitan selain menaikkan elaun bulanan Pengerusi JKKKB daripada RM250 kepada RM500.

Selain itu, peruntukan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang ditingkatkan kepada RM7 juta berbanding RM5 juta tahun lalu manakala Sekretariat Perantau Anak Pahang menerima RM2.44 juta berbanding RM1 juta sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy mengumumkan Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri melibatkan peruntukan RM58 juta yang dibayar dalam dua fasa pada Januari dan Jun tahun depan.

Selain itu, bantuan khas perayaan Aidilfitri sebanyak RM1,500 turut diberikan kepada semua penjawat awam negeri dengan peruntukan RM12 juta.

RM252.1 juta untuk infrastruktur rakyat

Kerajaan memperuntukkan RM252.1 juta bagi memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas termasuk RM75 juta untuk pembinaan serta menaik taraf jalan raya.

Sebanyak RM19.5 juta disediakan bagi projek tebatan banjir, saliran dan hakisan pantai manakala RM12.4 juta untuk pembangunan Pusat Pemindahan Tetap (PPT) di Kuantan, Lipis, Pekan dan Temerloh.

Dalam sektor bekalan air, RM105 juta diperuntukkan untuk pelbagai projek pembangunan termasuk Projek Empangan Chereh.

Program Rebat Air Makmur pula dijenamakan semula kepada Program Air Percuma Pahang 1st yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 pengguna berpendapatan rendah.

Kerajaan turut mengumumkan pemasangan lampu solar di jalan-jalan kampung seluruh negeri dengan kos RM5 juta.

Dalam sektor kesihatan, kerajaan menyediakan RM1 juta untuk pembelian peralatan oftalmologi bagi Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serta RM1.5 juta bagi menaik taraf kuarters kesihatan sebagai Wellness Hub di Jelai, Benta, Muadzam Shah dan Raub.

Lindungi alam sekitar dan khazanah negeri

Bagi pemeliharaan alam sekitar, sejumlah RM97.3 juta diperuntukkan termasuk RM88.4 juta untuk pengurusan hutan, penanaman semula pokok, restorasi dan Ecological Fiscal Transfer (EFT).

Turut diumumkan ialah pembangunan Wildlife Conservation Park di Kuala Sat, Ulu Tembeling dengan peruntukan RM2 juta, projek pemulihan kawasan bekas lombong, program penghapusan ikan baung ekor merah serta pelepasan ikan tempatan bagi memulihkan populasi spesies asli.

Kerajaan negeri juga akan menambah 50 anggota baharu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bagi memastikan usaha membanteras pencerobohan tanah dan perlombongan haram dipertingkatkan.

Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan

Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat, kerajaan memperuntukkan RM260.55 juta bagi pengurusan, pembangunan dan program syiar Islam di negeri ini, selain RM18 juta menerusi Yayasan Pahang untuk memperkasa institusi tahfiz.

Antara diumumkan ialah sumbangan RM10,000 kepada setiap masjid dan RM4,000 kepada surau Jumaat, Program Barakah Haji Pahang, bantuan tahfiz dan pondok, bantuan mualaf yang dinaikkan kepada RM300 seorang, bantuan perkahwinan kali pertama yang dinaikkan kepada RM400 serta bantuan kematian RM300 kepada waris yang layak tanpa mengira kaum dan agama.

Kerajaan turut meneruskan Program Juadah Makmur selepas solat Jumaat dengan peruntukan RM9.5 juta dan Jualan Makmur Kluster Perayaan sebanyak RM7.65 juta.

Selain itu, pelbagai bantuan disediakan kepada belia, wanita, Orang Asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, anak yatim, pekerja gig serta golongan berpendapatan rendah.

Antara inisiatif utama termasuk Program Permata Makmur yang menyediakan insentif RM300 bagi setiap kelahiran baharu, Kad Kesihatan Kasih Makmur dengan peruntukan RM18 juta, Tabung Pesakit Kronik Pahang 1st RM10 juta, Program Cermin Mata Pahang 1st RM2 juta, Program Anak-Anak Masalah Pembelajaran RM2 juta, Inisiatif Lindung Kasih Makmur, Tabung Wanita Pahang 1st RM1.5 juta serta Subsidi Deposit Sewa Rumah Pahang 1st RM2 juta.

Kerajaan turut memperuntukkan RM18.9 juta bagi pembangunan masyarakat Orang Asli termasuk pembinaan Rumah Rakyat Pahang Kuota Orang Asli, program pemerkasaan komuniti, penyediaan bekalan air dan bantuan pendidikan.

Bagi memperkukuh perpaduan, sebanyak RM34.5 juta diperuntukkan termasuk Baucar Balik Raya Pahang 1st, Baucar Hari Raya Pahang 1st, Baucar Tahun Baharu Cina, Baucar Deepavali, Program Muhibah Pahang 1st, Bazar Rakyat Pahang 1st dan Program Santai Rakyat Bersama KRT.

Tiada rakyat tercicir

Mengakhiri pembentangannya, Wan Rosdy menegaskan Belanjawan Pahang 2027 disusun bagi memastikan kemakmuran negeri dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri mahu melihat setiap anak Pahang mempunyai peluang yang adil untuk mendapatkan pendidikan, pekerjaan, perniagaan serta kehidupan yang lebih baik.

“Matlamat kita jelas, tiada rakyat yang terpinggir dan tiada golongan yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini