KUANTAN: Cadangan pembangunan projek solar terapung di Pulau Tioman dilihat berpotensi menjadi alternatif kepada bekalan elektrik yang ketika ini masih banyak bergantung kepada penjanaan diesel.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri pada prinsipnya menyokong cadangan Projek Penyelidikan Solar Terapung Pesisir Laut berkapasiti 780 kilowatt (kW) yang dikemukakan TNB Research sebagai sebahagian usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu di pulau peranginan itu.
Katanya, namun pelaksanaannya perlu memenuhi keperluan perundangan serta mengambil kira aspek pemuliharaan kawasan Taman Laut.
“Projek berkenaan merupakan inisiatif meneroka teknologi solar terapung luar pesisir bagi mengkaji kebolehlaksanaan teknikal dan ekonominya di Malaysia.
“Kajian itu dilaksanakan TNB Research dengan kerjasama SolarDuck dan Hydro, selain berpotensi menyumbang kepada aspirasi menjadikan Pulau Tioman sebagai Pulau Tenaga Hijau.
“Bagaimanapun, cadangan berkenaan perlu melalui penelitian lanjut memandangkan lokasi projek terletak dalam kawasan Taman Laut yang tertakluk kepada Akta Perikanan 1985 serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tioman, Datuk Seri Dr. Mohd Johari Hussain pada sesi pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, cadangan projek itu telah diteliti Jawatankuasa Teknikal Sumber Air dan Tenaga (JTSAT), namun pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan serta pematuhan syarat teknikal dan perundangan pihak berkuasa berkaitan.
“Antara keperluan utama ialah mendapatkan kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi pembinaan struktur dalam kawasan Taman Laut, selaras dengan Seksyen 43(2) Akta Perikanan 1985.
“Selain aspek perundangan, kerajaan negeri turut menitikberatkan kesesuaian lokasi pemasangan supaya tidak menjejaskan keindahan pesisir pantai, ekosistem marin, terumbu karang serta hidupan laut yang menjadi khazanah semula jadi Pulau Tioman,” katanya.
Tambahnya, aspek keselamatan pelancong dan penyelenggaraan jangka panjang juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan tidak memberikan kesan negatif terhadap persekitaran serta imej pelancongan pulau itu.
“Kerajaan negeri berpandangan projek berkenaan berpotensi menjadi nilai tambah kepada keunikan produk pelancongan Pahang, selain membuka ruang penerokaan teknologi tenaga boleh baharu, dengan syarat pembangunan tersebut dilaksanakan secara terancang dan tidak mengorbankan kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Mengulas kemungkinan memperluas pelaksanaan teknologi berkenaan ke kawasan lain di Pahang sekiranya projek di Pulau Tioman berjaya, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri terbuka menerima pelaburan seumpama itu tertakluk kepada kebolehlaksanaan projek.
“Beberapa faktor perlu diteliti terlebih dahulu termasuk kesesuaian lokasi, keupayaan sistem grid menerima penjanaan elektrik serta impak terhadap ekosistem marin dan biodiversiti.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap cadangan pembangunan mengambil kira aspek pemuliharaan alam sekitar, khususnya di kawasan Taman Laut yang telah diwartakan,” katanya.
Katanya, kajian menyeluruh serta penilaian dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan perlu diperoleh sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pelaksanaan projek seumpama itu di lokasi lain.
“Kerajaan negeri akan meneliti hasil kajian projek solar terapung di Pulau Tioman sebagai pertimbangan untuk kemungkinan pelaksanaan teknologi sama di gugusan pulau, tasik atau kawasan lain yang bersesuaian di Pahang,” katanya.-UTUSAN











