Penjawat Awam Pahang terima bantuan khas dua bulan gaji, BKP Aidilfitri RM1,500

Penjawat Awam Pahang terima bantuan khas dua bulan gaji, BKP Aidilfitri RM1,500

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri sebagai penghargaan terhadap jasa dan komitmen mereka dalam memacu pentadbiran serta pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM58 juta dan akan disalurkan dalam dua fasa, iaitu pada Januari dan Jun 2027.

Menurut beliau, penjawat awam negeri selama ini merupakan tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran kerajaan serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Segala dedikasi, pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh penjawat awam Negeri Pahang amat dihargai dan wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Justeru, kerajaan negeri dengan sukacitanya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam Negeri Pahang,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan Pahang 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Khas Perayaan (BKP) Aidilfitri RM1,500 bagi membantu penjawat awam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pemberian bantuan khas perayaan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM12 juta.

Beliau berkata, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan penjawat awam yang sentiasa komited melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, penghargaan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada warga perkhidmatan awam untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, memelihara integriti dan melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan.

“Semoga penghargaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang Darul Makmur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini