Penyediaan bilik mandi awam sokong gaya hidup sihat penduduk KL

Penyediaan bilik mandi awam sokong gaya hidup sihat penduduk KL

HANNAH Yeoh (enam dari kanan) ketika sesi bergambar pada majlis pelancaran Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyediaan kemudahan bilik mandi awam akan diberikan keutamaan di ibu negara sesuai cara dan gaya hidup sihat penduduk ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, usaha membangun bandar sihat tidak boleh dipisahkan daripada penyediaan infrastruktur asas yang menyokong rutin harian penduduk.

Sehubungan itu, katanya, penyediaan bilik mandi awam menjadi antara fokusnya kini dalam membangun kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan penduduk.

“Ramai  penduduk terutamanya wanita tidak bersenam kerana tiada tempat untuk mandi dan bersedia selepas melakukan aktiviti fizikal, terutamanya jika mereka perlu terus ke tempat kerja.

“Kalau kita mahu wujudkan gaya hidup sihat, kita perlu pastikan infrastruktur itu ada untuk menyokong gaya hidup tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha mewujudkan kemudahan awam yang lebih mesra pengguna memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan perbincangan lanjut bersama pemegang taruh.

Dalam pada itu, KLAF 2026 yang bertemakan Future Culture itu dianjurkan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) sebagai festival seni bina kebangsaan yang menghimpunkan arkitek, pelajar, pemain industri serta orang awam melalui rangkaian program yang pelbagai.

Presiden PAM, Ar. Adrianta Aziz berkata, tema itu mencerminkan visi jangka panjang pihaknya terhadap peranan seni bina dalam masyarakat. 

“Reka bentuk yang baik perlu berpaksikan konteks setempat, pengalaman hidup dan identiti komuniti, di samping memenuhi keperluan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN