Mahasiswa perlu amal gaya hidup sihat

Mahasiswa perlu amal gaya hidup sihat

RATA-rata pelajar yang berada di universiti sering berdepan dengan tekanan akademik, pola tidur yang tidak teratur, serta corak pemakanan tidak sihat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH program kesihatan telah dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban dengan kerjasama Yakult Malaysia baru-baru ini.

Program yang melibatkan penyertaan seramai 300 pelajar itu bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan penjagaan kesihatan sistem penghadaman dan amalan gaya hidup sihat.

Para peserta didedahkan dengan pelbagai input berkaitan kesihatan usus, termasuk pemahaman mengenai keseimbangan bakteria dalam gut microbiota serta kepentingannya terhadap kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Dalam sesi tersebut, penekanan khusus diberikan kepada isu kesihatan pada fasa awal remaja dan belia. Rata-rata pelajar yang berada di universiti sering berdepan dengan perubahan gaya hidup yang drastik.

Tekanan akademik, pola tidur yang tidak teratur, serta corak pemakanan tidak sihat seperti kerap mengambil makanan segera dan kurang serat dikenal pasti sebagai punca utama yang menjejaskan kesihatan usus pada usia muda.

Kesihatan sistem penghadaman ini bukanlah isu yang boleh dipandang remeh kerana ia berisiko membawa kepada pelbagai penyakit.

Kegagalan mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus boleh menjadi penyumbang kepada masalah Sindrom Usus Rengsa (IBS), penyakit radang usus, masalah obesiti, serta kelemahan sistem imunisasi yang menyebabkan mereka mudah dijangkiti penyakit.

Malah, persekitaran usus yang tidak sihat juga dikaitkan dengan kemerosotan kesihatan mental berikutan gangguan pada sistem paksi usus-otak.

Peserta juga diperkenalkan dengan definisi dan contoh probiotik, di samping memahami keperluan probiotik dalam membantu mengekalkan keseimbangan sistem pencernaan dan mencegah penyakit-penyakit tersebut.

Program ini diharapkan dapat memupuk kesedaran mahasiswa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan usus dalam kehidupan seharian dan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa yang lebih peka terhadap kesihatan diri dan kesejahteraan tubuh secara menyeluruh. – UTUSAN

NAWWAR HAFIDZ RAHIMI
Kelab Prime Mover Uitm, Uitm Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN