PETALING JAYA: Blackmores Malaysia dengan kerjasama CARiNG Pharmacy, buat julung kali menganjurkan Karnival Jom!Fit bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.
Karnival berlangsung One Utama, Damansara bertujuan memperkasa penjagaan kesihatan pencegahan tulang dan sendi yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.
Penganjuran karnival bersempena ulang tahun ke-50 Syarikat dalam menyokong perjalanan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Asia Kumpulan Blackmores, Andrew Fuary berkata, sepanjang acara, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pengalaman interaktif termasuk saringan kesihatan, cabaran fizikal dan sesi konsultasi dengan ahli farmasi.

Menurut beliau, pihaknya percaya bahawa mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.
Katanya, apatah lagi dengan status Syarikat sebagai jenama yang mempunyai legasi lebih 90 tahun dalam bidang kesihatan semula jadi dan 50 tahun berkhidmat untuk komuniti di Malaysia.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan penyelesaian kesihatan yang dipercayai.
“Kami komited untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat, dan membantu orang ramai menjaga kesihatan mereka untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan bersempena program.
Turut diadakan aktiviti mesra keluarga bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan lebih menarik dan mudah difahami.
Tambah beliau, menerusi visi ‘More Health, More Life’ serta kerjasama dengan rakan penjagaan kesihatan yang dipercayai seperti CARiNG Pharmacy, Blackmores berharap dapat menginspirasikan lebih ramai orang untuk mengambil langkah proaktif demi menjaga kesejahteraan mereka dan menjadikan penjagaan kesihatan secara pencegahan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Karnival Jom!Fit berlangsung lima hari bermula 22 Julai lalu, memberi peluang peserta yang berjaya menyempurnakan Cabaran 500 Wellness Laps menerima hadiah eksklusif sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat setiap hari.
Blackmores turut menyumbang 200 produk kesihatan kepada kelab larian yang mengambil bahagian tanda penghargaan terhadap peranan mereka dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan BIG CARiNG, Lim Sin Yin berkata, farmasi komuniti sering menjadi tempat pertama bagi orang ramai mendapatkan nasihat serta sokongan kesihatan.
Kata beliau, pihaknya melihat peranan itu sebagai peluang untuk meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan.
Kumpulan juga, kata beliau, membantu orang ramai membuat keputusan kesihatan berdasarkan maklumat yang tepat dan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap kesihatan mereka.
“Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Blackmores untuk menjayakan Karnival Jom!Fit.
“Dengan menggabungkan kepakaran Syarikat dalam bidang kesihatan semula jadi itu dengan rangkaian CARiNG Pharmacy yang dipercayai serta hubungannya yang kukuh dengan komuniti, kami berharap dapat mendekatkan penjagaan kesihatan secara pencegahan dengan komuniti setempat.
“Kami juga berharap dapat menginspirasikan lebih ramai rakyat Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi menyokong kesejahteraan jangka panjang mereka,” katanya. – UTUSAN










