SHAH ALAM: Concorde Hotel Shah Alam menawarkan program seni mempertahankan diri dan kecergasan seperti kelas Muay Thai dan tinju sebagai salah satu galakan kepada gaya hidup sihat selain aktiviti senaman lain.
Hotel itu dalam kenyataannya berkata, kelas aktiviti tersebut diperkenalkan menerusi program Hari terbuka Pusat Kecergasan Kilos yang diadakan baru-baru ini bagi memberi pendedahan kepada semua peringkat umur.
“Ia merupakan kerjasama dengan MuayFit Malaysia untuk menawarkan program seni mempertahankan diri dan kecergasan (Muay Thai, tinju, dan senaman) bagi tetamu hotel, kumpulan korporat, serta orang awam.
“Kolaborasi antara Concorde Hotel Shah Alam dan MuayFit Malaysia ini juga menawarkan program untuk korporat dan ‘team building’,” katanya di sini, hari ini.
Malah, tetamu yang menginap juga boleh menggunakan kemudahan Pusat Kecergasan Kilos yang menawarkan pelbagai fasiliti seperti bersenam dan berenang.
“Acara sedemikian amat bagus bagi mereka yang ingin menjalankan hidup yang sihat untuk menghilangkan tekanan serta anak-anak belajar cara berdisiplin dan belajar lindungi diri.
“Seni mempertahankan diri hari ini bukan lagi sekadar tentang pertarungan, ia adalah tentang membina keyakinan, melegakan tekanan dan membangunkan daya tahan fizikal dan mental,” tambahnya.
Kata kenyataan itu lagi, diskaun sebanyak 10 peratus juga ditawarkan bagi mereka yang ingin menjadi ahli Pusat Kecergasan Kilos. – UTUSAN










