KLANG: Mayat seorang lelaki ditemukan selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing dekat Tasik Bukit Raja di Jalan Makyong, Bandar Bukit Raja di sini, hari ini.
Mangsa berusia 30 tahun itu ditemukan pada pukul 12.45 tengah hari tadi dalam keadaan terapung kira-kira 300 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian dilakukan sejak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.37 malam tadi.
Katanya, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara serta dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pelabuhan Klang, KLIA dan Shah Alam.
“Komander operasi melaporkan kejadian melibatkan mangsa dipercayai hlang semasa sedang memancing. Motosikal, peralatan memancing dan selipar mangsa ditemui di tepi tasik.
“Pasukan penyelamat menggunakan sebuah bot aluminium dan HDPA di permukaan tasik. Mangsa kemudian berjaya ditemui pada pukul 12.45 tengah hari tadi. Mangsa dibawa naik pada pukul 1 tengah hari dan disahkan oleh waris mangsa,” katanya kepada pemberira di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ashrul Riezal memaklumkan seramai 15 termasuk pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu dan turut dibantu oleh 16 polis, dan empat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN











