KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia terlebih membayar pampasan antara RM400,000 hingga RM500,000 kepada Semantan Estate Sdn Bhd (1952) bagi pengambilan tanah seluas 263.272 ekar (kira-kira 106,542 hektar) yang dikenali sebagai Duta Enclave pada 1956.
Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kementerian Kewangan, Tan Tat Khuan, 40, berkata beliau telah membuat penilaian dan mengesyorkan jumlah pampasan RM875,000 bagi nilai tanah di Mukim Batu itu berbanding RM1.39 juta yang telah dibayar oleh kerajaan.
“Jika RM1.39 juta itu ditolak dengan apa yang telah dinilai (RM875,000), menunjukkan kerajaan terlebih bayar RM400,000 hingga RM500,000 dan sekiranya mahkamah bersetuju dengan pengiraan saya, iaitu RM875,000, maka tiada tambahan pampasan perlu dibayar kepada plaintif,” katanya.
Saksi tunggal kerajaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan, pada prosiding penilaian pampasan yang didengar oleh Hakim Roslan Mat Nor.
Pada prosiding sebelum ini, Tat Khuan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada 1965, Kerajaan Malaysia telah membayar pampasan sebanyak RM1.39 juta kepada Semantan Estate, iaitu lebih tinggi berbanding jumlah yang disyorkan beliau.
Selain itu, Tat Khuan berkata, beliau juga membuat penilaian membabitkan keluasan tanah berbeza dan mengesyorkan nilai pampasan RM985,000.
Ditanya Roslan sama ada pampasan tambahan perlu dibayar sekiranya penilaian RM985,000 digunakan, Tat Khuan menjawab: “Sama juga Yang Arif, tiada pampasan tambahan perlu dibayar.”
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pampasan disyorkan itu tidak termasuk faedah.
Dalam pada itu, saksi berkenaan menafikan fakta yang beliau peroleh daripada A.A. Wragg dan A.I.G. Harding, iaitu penilai yang menjalankan penilaian tanah terbabit bagi 1956 serta 1958, adalah sekadar dengar cakap kerana mereka tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.
“Pada pandangan saya, kedua-dua laporan itu adalah konsisten dan boleh dipercayai,” katanya menjawab soalan peguam, Ira Biswas yang mewakili Semantan Estate.
Perbicaraan bersambung 23 November ini.
Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.
Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa, kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan dan kes berkenaan kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah itu, namun syarikat terbabit berhak mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah berkenaan pada 1956, apabila ia diambil alih oleh kerajaan.
Tanah terletak di lokasi utama Jalan Duta itu antara lain menempatkan Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit. – BERNAMA











