Permohonan lanjutan masa Semantan Estate ditolak

Permohonan lanjutan masa Semantan Estate ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan lanjutan masa oleh Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) dalam penyediaan laporan pentaksiran ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor berkata, sebarang penangguhan adalah tidak adil kepada kedua-dua pihak memandangkan kes berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Mahkamah mengambil kira faktor plaintif (Semantan) yang memerlukan beberapa dokumen untuk laporan penilaian lebih komprehensif bagi membolehkan penilaian pentaksiran sewajarnya.

“Mahkamah turut mengambil kira bantahan daripada peguam defendan (kerajaan) yang menyatakan permohonan lanjutan masa di saat akhir adalah tidak wajar dilakukan kerana jumlah bayaran faedah yang lebih besar perlu dibayar oleh kerajaan, sedangkan kelewatan bukan berpunca dari defendan,” katanya semasa pengurusan kes hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini bagi pengurusan kes dan mengekalkan tarikh pendengaran berhubung taksiran itu pada 3, 10 dan 30 April depan.

Terdahulu, peguam yang mewakili Semantan, Janet Chai berkata, pihaknya memerlukan tempoh masa tambahan bagi mendapatkan beberapa dokumen seperti dokumen pengambilan tanah dan pelan ukur.

Peguam itu turut menghujahkan permohonan itu tidak dibuat dengan niat hendak melengahkan prosiding.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, adalah milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terha­dap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi pe­nempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, Semantan mem­failkan pula saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Ke­hakiman Zura Yahya memu­tuskan bahawa Semantan mengekalkan kepentingan be­ne­fisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Tanah terbabit yang terletak di lokasi utama Jalan Duta me­nempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN