SHAH ALAM: Semua sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup esok susulan perkembangan jerebu yang masih melanda.
Sekolah yang terlibat adalah di bawah PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama.
Sementara sekolah-sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan Sabak Bernam akan beroperasi seperti biasa.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam kenyataannya berkata, bagaimanapun semua aktiviti luar bilik darjah di kedua-dua daerah berkenaan tidak dibenarkan.
“Sebarang perubahan terhadap status pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Selangor.
“Ibu bapa dan penjaga, murid serta seluruh warga pendidikan diminta mengambil maklum serta merujuk saluran rasmi JPN Selangor bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, JPN Selangor dalam kenyataan awal memberitahu semua institusi pendidikan di bawah pentadbirannya beroperasi seperti biasa dengan menyarankan supaya sebarang aktiviti luar ditangguhkan.
Bagaimanapun, pihaknya memaklumkan pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dipantau secara berkala. – UTUSAN











