SHAH ALAM: Banjir berulang selepas hujan lebat turun malam tadi menyebabkan laluan di Kilometer (KM) 9.1 di laluan masuk sebelum dan selepas Plaza Tol Shah Alam di Lebuhraya Utara Lembah Klang (NKVE) terhalang.
Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dalam makluman menerusi Facebooknya memaklumkan banjir berlaku sejak pukul 2.03 pagi, namun ketika itu keadaan masih terkawal.
Bagaimanapun, sehinga pukul 5.30 pagi paras air dilaporkan semakin meningkat menyebabkan semua lorong ditutup melibatkan kedua-dua arah dari Subang, Seafield dan Bukit Raja.
“Semua lorong masih ditutup. Trafik arah Utara dari Bukit Raja dilencongkan ke Plaza tol Setia Alam manakala Trafik arah Selatan dari Subang dilencongkan ke Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).
“Banjir kilat di Elite di persimpangan Shah Alam dari arah Seafield ke Setia Alam. Trafik dilencongkan sementara ke Plaza tol Shah Alam,” katanya di sini, hari ini.
Kejadian banjir di kawasan tersebut dilaporkan berlaku kali kedua dalam tempoh dua hari selepas kali pertama berlaku kelmarin kira-kira pukul 5.30 petang selepas hujan lebat turun lebih sejam yang turut menyebabkan kesesakan trafik dari pelbagai arah. – UTUSAN











