PETALING JAYA: Projek tebatan banjir termasuk pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar petang semalam.
“Saya turut berbincang dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat kawasan berhubung bantuan tambahan kepada keluarga terjejas.
“Pesanan saya, projek tebatan banjir termasuk pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan kepada penduduk Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar yang kini ditempatkan di Dewan Siantan susulan banjir berkenaan.
Menurutnya, lawatan itu turut memberi peluang kepadanya bertanya khabar, mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi serta melihat keadaan dan keperluan keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
“Semoga semua diberikan kekuatan dan ketabahan. Insya-Allah, kita akan terus memastikan kebajikan dan keperluan mereka terbela sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 575 mangsa daripada 253 keluarga terjejas akibat kejadian banjir kilat di Kampung Melayu Subang, dekat sini, petang semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, manakala baki 245 keluarga lagi menumpang di rumah saudara mara.- UTUSAN











