Maritim Malaysia kukuh kerjasama, kesan ancaman di perairan

Maritim Malaysia kukuh kerjasama, kesan ancaman di perairan

MOHD. Rosli Abdullah ketika berucap pada Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerjasama dengan negara-negara serantau dipertingkatkan termasuk menerusi perkongsian maklumat, risikan serta mesyuarat berkala bertujuan mengesan ancaman di perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, maklumat risikan daripada negara jiran juga menjadi antara asas penting kepada pihaknya dalam mengesan pergerakan rentas sempadan.

Menurutnya, pendekatan operasi berasaskan risikan atau intelligence-led operations turut membolehkan aset dan anggota digerakkan secara lebih bersasar berdasarkan analisis ancaman serta penilaian risiko.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam kejadian pada 27 Oktober lalu, operasi berkenaan digerakkan berdasarkan maklumat risikan yang diterima daripada negara jiran mengenai kemungkinan berlaku pergerakan masuk dari negara berkenaan.

“Kami sememangnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan negara-negara jiran, khususnya dalam aspek perkongsian maklumat dan risikan,” katanya kepada pemberita sempena Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, kerjasama antarabangsa turut diperkukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Jepun pada 13 Ogos lalu.

Katanya, cadangan pemeteraian MoU bersama Korea Coast Guard juga dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Menurutnya, selain itu, hubungan kerjasama turut diperkukuh menerusi lawatan kapal Vietnam Coast Guard (VCG) CSB 8005 pada 22 hingga 25 Jun lalu serta USCGC BERTHOLF pada 28 September hingga 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut merancang menerima lawatan kapal China Coast Guard (CCG) SANDU 5308 pada 10 hingga 13 November ini.

“Kerjasama seperti ini sememangnya dilaksanakan bersama negara-negara jiran menerusi pelbagai platform, termasuk perkongsian maklumat dan risikan.

“Kami percaya bahawa dalam menangani jenayah rentas sempadan, kerjasama erat antara negara amat diperlukan bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa terjamin,” jelasnya.

Menurutnya, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran, latihan dan pengukuhan komunikasi bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini