Hanya orang mati tidak buat silap – Tony Eusoff pertahan Zahirah Macwilson - Utusan Malaysia

Hanya orang mati tidak buat silap – Tony Eusoff pertahan Zahirah Macwilson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Tony Eusoff, berharap masyarakat khususnya penganut agama Kristian agar berlapang dada dan menerima permohonan maaf pelakon Zahirah Macwilson susulan kenyataan kontroversi melibatkan kepercayaan agama, baru-baru ini.

Tony, 49, berpendapat bahawa sebagai manusia biasa, tiada individu yang terlepas daripada melakukan kesilapan dan perkara tersebut tidak sewajarnya diperbesarkan sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

“Sebagai seorang Kristian, pesan saya kepada rakan-rakan seagama, janganlah terlalu terkesan. Betul, dia mungkin terlanjur kata, tetapi tidak ada sesiapa yang terlepas daripada melakukan kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hanya orang yang sudah mati sahaja tidak buat silap. Saya harap kita semua boleh move on. Kalau iman kita kuat, benda remeh seperti ini tidak sepatutnya memberi kesan mendalam kepada kita,” katanya menerusi satu hantaran video di aplikasi Threads.

Mengulas lanjut, pelakon Mencari Ramlee itu berkata kebesaran Tuhan tidak akan terjejas hanya disebabkan kekhilafan seorang manusia, malah permohonan maaf yang dibuat Zahirah sewajarnya disambut dengan hati yang terbuka.

“Kita percaya Tuhan itu Maha Penyayang dan Pengampun. Sebagai orang beriman, kita tahu Tuhan itu besar. Tidak perlu untuk kita berasa tersinggung (offended) kononnya mahu mempertahankan Tuhan, siapalah kita?

“Zahirah telah pun meminta maaf, jadi kita terima maaf tersebut dan biarlah dia meneruskan kehidupannya. Negara kita aman dan kita perlu teruskan keadaan begitu,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Zahirah Macwilson tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas hantarannya mengenai sambutan agama lain di media sosial sebelum ini menyinggung sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini