Penyatuan ummah perlu lebih besar daripada agihan kerusi

Penyatuan ummah perlu lebih besar daripada agihan kerusi

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYATUAN ummah yang menjadi antara asas kerjasama Pas dan UMNO tidak seharusnya dilihat sekadar formula politik setiap kali pilihan raya berlangsung, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam kerangka lebih besar dan jangka panjang meliputi aspek politik, ekonomi serta kestabilan negara.

Kerjasama antara kedua-dua parti itu bukan hanya berkisar soal pembahagian kerusi atau kemenangan dalam pilihan raya sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha membina persefahaman lebih kukuh dalam kalangan orang Melayu dan Islam, selain memastikan kepentingan rakyat terus diberi perhatian.

Ikuti temu bual wartawan wartawan Utusan Malaysia, NURAINA HANIS ABD. HALIM dan FITRI NIZAM, bersama jurugambar IQBAL ROSLI, mengupas isu penyatuan ummah serta kerjasama Pas-UMNO bersama Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

UTUSAN: Berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, secara keseluruhannya, adakah Perikatan Nasional (PN) berpuas hati dengan tujuh kerusi yang diperuntukkan?

TUAN IBRAHIM: Bila buat kerjasama, kita kena bertindak berdasarkan polisi asas. Dasar asasnya ialah kerusi penyandang kekal kepada parti pemenang.

Jadi itu prinsip asas. Kalau kita langgar prinsip itu, ia akan rosak semua. Kita setuju dengan polisi tersebut dan kita akur. Mana yang UMNO menang, kekal kepada mereka. Selain daripada kerusi yang mereka menang, kita bebas untuk bertanding.

Polisi ini juga digunakan di Negeri Sembilan dan seterusnya termasuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Cuma ada beberapa kes tertentu yang mungkin akan dilihat kembali secara menyeluruh. Contohnya Terengganu dan Kedah yang mana UMNO tiada kerusi. Jadi kita perlu berbincang. Ada beberapa alternatif lain tetapi buat masa ini fokus untuk Melaka dahulu.

 

Bagaimana pula dengan persiapan PN menghadapi PRN Melaka?

Kita sebenarnya sudah bersedia untuk Melaka lebih awal berbanding Negeri Sembilan dan Johor kerana jika mengikut jadual, Melaka sepatutnya PRN dulu.

Kita sudah bersedia untuk Melaka hampir lebih setahun. Bahkan pelancaran jentera sudah dibuat tahun lalu.

Kita juga buat tawaran untuk bertanding dan melihat kawasan-kawasan yang dijangka mempunyai sokongan.

Ada dua perkara besar. Pertama, PRN Melaka dahulu dibuat ketika undi 18 belum dilaksanakan. Jadi keputusan itu tidak menjadi asas yang begitu kuat.

Kedua, ketika itu Barisan Nasional (BN) tidak menang satu kerusi pun, Pas (2) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (1).

Maknanya kita lihat ada satu perubahan agak drastik daripada undi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada undi Parlimen.

 

Jadi, berdasarkan keputusan itu, apakah rasional kerjasama PN-BN di Melaka?

Sebenarnya yang pertama, penyatuan ummah dalam kerangka besar membolehkan orang Melayu duduk dan perlu bersatu.

Walaupun dari segi politiknya UMNO boleh bergerak solo seperti di Johor.

Di Johor, matlamat memang BN yang memerintah, UMNO yang menang tetapi ada beberapa kerusi yang kita jangka boleh tawan kalau adakan kerjasama.

Contohnya kerusi Pakatan Harapan (PH). Kerusi PH ini kita boleh tawan dan boleh menang kalau ada kerjasama. Kalau tiada kerjasama, kita mungkin tidak boleh menang.

Ini bermakna UMNO akan mengekalkan 21 kerusi sedia ada, manakala baki kerusi lain berpotensi dimenangi menerusi muafakat politik, termasuk beberapa kerusi yang sebelum ini gagal dimenangi parti.

Contoh, terdapat kerusi yang mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 48 hingga 52 peratus, namun perpecahan undi menyebabkan kerusi berkenaan dimenangi PH. Jadi, melalui muafakat politik, kita berpeluang merampas semula kerusi yang sebelum ini gagal dimenangi.

 

Bagaimana Pas mahu meyakinkan pengundi yang penyatuan ummah ini bukan semata-mata untuk menang pilihan raya?

Sebenarnya penyatuan ummah ini adalah usul yang dibuat dalam muktamar pusat dan diterima sebulat suara.

Bila usul itu diterima sebulat suara, maknanya ahli parti sudah tahu bahawa ke depan ini kita kena cari jalan untuk menyatukan ummah.

Penyatuan ummah ini bukan hanya politik. Ia lebih besar daripada kerangka politik. Kita tidak mahu akhirnya orang Melayu Islam berpecah. Bila berpecah, ekonomi kita sudah terlepas, jangan lepaskan pula kuasa politik.

Jadi penyatuan ini penting untuk masa depan kestabilan negara, berdasarkan kuasa politik Melayu.

Kalau berlaku gugatan kepada kuasa majoriti Melayu ini, akhirnya kestabilan politik negara pun tidak akan stabil.

Ini berlaku di Fiji. Apabila pendatang luar masuk, tiba-tiba mereka menguasai politik, akhirnya penduduk tempatan seperti tidak diterima.

Sebab itu kita stabil sejak merdeka sampai sekarang kerana dominasi politik Melayu itu kekal. Kalau kita dapat bina perkara ini, ia adalah kestabilan untuk negara dan kestabilan untuk rakyat.

 

Dalam masa sama, ada kebimbangan penyatuan ummah dilihat sebagai usaha mengetepikan hak bukan Melayu. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara itu?

Penyatuan ummah ini bukan merampas hak bukan Melayu. Mereka warganegara, mereka rakyat dan mereka ada hak. Kita menghargai hak mereka.

Cuma lihat penyatuan ini dalam kerangka lebih besar. Kita perlu lihat bagaimana boleh susun agenda ummah ini untuk pengukuhan ekonomi. Dalam masa sama, ekonomi pun boleh kita tingkatkan.

Kita akui pembangunan tidak seimbang antara pantai timur dengan pantai barat. Bahkan, negeri Melayu jauh ketinggalan. Jadi, kalau kita besarkan lagi jurang ini, akhirnya jurang itu akan makin besar.

Walaupun penyatuan bukan semata-mata untuk pilihan raya, namun isu pembahagian kerusi tetap menjadi cabaran terbesar. Kita berharap kepentingan jemaah yang lebih besar diutamakan, bukan hanya tertumpu kepada soal kerusi.

Lagipun, ini bukan pertama kali. Kita sudah beberapa kali bekerjasama dalam politik dengan UMNO. Pada 1974, selepas 13 Mei, kita buat kerjasama dan Pas menyertai BN.

Masa itu kerana berlaku 13 Mei. Kali ini kita tidak mahu apabila berlaku sesuatu, baru kita hendak fikir. Kita fikir dahulu sebelum berlaku perkara-perkara yang tidak baik. Jadi ke arah masa depan yang lebih baik, insya-Allah.

 

Bagaimana pula untuk mencapai persefahaman sedangkan Pas dan UMNO mempunyai perbezaan dari segi prinsip dan dasar?

Sebagai orang Islam dan Melayu, saya melihat banyak perbezaan yang timbul sebenarnya lebih kepada pendekatan dan pandangan masing-masing, bukannya soal prinsip atau dasar.

Dalam hal ini, pimpinan politik perlu menentukan hala tuju dan tidak menyerahkan keputusan kepada ahli di peringkat bawah. Sebab itu, bagi saya, usaha penyatuan ummah perlu ditentukan di peringkat pusat dan bukannya memberi mandat kepada negeri kerana dikhuatiri akan menimbulkan percanggahan antara negeri.

Dalam Pas sendiri, apabila parti membuat keputusan, ahli akan akur dan mematuhinya.

Sebagai contoh, di Melaka, ada pihak yang mahu bertanding di 16 atau 17 kerusi selepas membuat kajian dua hingga tiga kali dan melihat kerusi berkenaan berpotensi untuk dimenangi berdasarkan kemasukan pengundi baharu serta sentimen semasa.

Bagaimanapun, apabila parti membuat keputusan, mereka akur dan patuh. Ini kerana penyatuan ummah perlu dilihat dalam konteks lebih besar, bukan hanya berdasarkan kepentingan sesebuah negeri, sebaliknya mengambil kira kepentingan seluruh negara.

 

Jadi penyatuan ummah ini bukan hanya untuk pilihan raya?

Penyatuan ini bukan hanya perlu dilihat dari sudut pilihan raya tetapi juga untuk kepentingan jangka panjang.

Kita bakal berdepan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Jika tidak ada kesepakatan, kita sukar memastikan sempadan baharu itu lebih berkesan dan adil.

Ada kawasan yang memerlukan penambahan kerusi Parlimen dan DUN. Contohnya, Terengganu yang mempunyai keluasan besar tetapi hanya lapan kerusi Parlimen. Di Pahang pula, terdapat kawasan DUN yang jaraknya melebihi 100 kilometer.

Selain itu, jumlah kerusi Parlimen atau DUN yang genap juga perlu diteliti kerana berisiko menghasilkan keputusan seri. Ini bermakna, jumlah kerusi ganjil wajar dipertimbangkan.

Semua perkara ini perlu dikaji semula, termasuk keperluan minimum kerusi berdasarkan keluasan kawasan, bagi memastikan persempadanan lebih adil serta mengambil kira cabaran perpaduan negara.

 

Bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan PN dengan perkembangan yang berlaku sekarang, termasuk isu berkaitan gabungan itu?

Bagi menghadapi PRN Melaka, kita mengambil kira keputusan mahkamah baru-baru ini yang membenarkan semula penggantungan perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Berdasarkan keputusan itu, kita memutuskan dalam mesyuarat bahawa logo PN akan digunakan sebagai lambang dalam PRN Melaka, walaupun pihak berkenaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Urusan penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima borang pencalonan menggunakan lambang yang telah disahkan. Ini bermakna keputusan itu tidak boleh ditarik balik.

 

Adakah Datuk Seri menjangkakan ada usaha untuk membatalkan PN pada masa akan datang?

Untuk proses akan datang, saya yakin mereka akan usaha juga untuk haramkan PN.

Sebab PN dianggap ancaman kepada PH dan mereka tidak boleh lawan. Lawan sokongan kita menang, lawan rakyat kita menang, akhirnya mereka tiada pilihan lalu terpaksa guna undang-undang. Tidak mustahil mereka akan guna undang-undang untuk haramkan dengan macam-macam alasan.

Walaupun hakim sudah buat keputusan, mereka ada hak untuk merayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Kita ada lima parti komponen dalam PN. Takkan kerana satu parti buat aduan, satu kes, tidak dipanggil mesyuarat, tiba-tiba batal. Apa nasib empat parti lagi?

Kita juga ada aset, pejabat, staf, kewangan dan bahan-bahan pilihan raya yang sudah di beli. Semua itu hakim ambil kira dalam keputusan.

Bagi saya, apa pun untuk ke depan ini kita kena ada sandaran. Walaupun kita akan usaha sedaya upaya untuk kekalkan PN, namun tetap perlu ada alternatif kedua.

Kalau pun diharamkan, kita mungkin daftar baharu, jalan baharu. Kalau terlalu terdesak dan tidak boleh, kita mungkin bersedia untuk guna satu parti tetapi untuk Melaka ini, kita bersedia dengan Pas.

Alhamdulillah, buat masa ini kita memang benar akan guna PN. Cuma selepas ini, kalau dibatalkan juga, kita kena daftar gabungan baharu.

 

Jika kita bercakap lebih jauh mengenai PRU16, sejauh mana kerjasama Pas-UMNO?

Saya tengok dalam beberapa siri pilihan raya ini nampak positif dan yakin ke depan ini pun boleh terus bekerjasama.

Di Negeri Sembilan, kita boleh tawan PH. Di Johor, kita berjaya mengurangkan kerusi-kerusi PH walaupun Pas tidak menang tetapi kita gembira apabila matlamat untuk mengurangkan kemenangan PH berjaya.

Di Melaka ini pun sama. Saya fikir DAP agak kuat di Melaka. Ada empat, lima kerusi yang mereka menang. Melalui muafakat ini, kita yakin boleh ambil mungkin satu atau dua kerusi daripada mereka.

Jadi berdasarkan keputusan ini, saya yakin untuk PRU16, muafakat akan terus berjalan.

 

Bagaimana pula formula pengagihan kerusi bagi kawasan yang tidak dimenangi sama ada oleh PN atau BN?

Kita akan tengok keseluruhan satu negeri.

Contohnya di Pahang, ada dua Parlimen yang dimenangi PN iaitu Raub dan Bentong. Mungkin Pas boleh ambil Raub dan BN ambil Bentong.

Cabaran timbul di kawasan yang tidak dimenangi PN ataupun BN. Contohnya di Terengganu, semua kerusi dimenangi PN. Perkara seperti ini perlu diperincikan, termasuk meneliti peluang dan ruang kerjasama yang boleh dipertimbangkan.

Sebab itu, perbincangan mengenai pembahagian kerusi tidak seharusnya terlalu terikat kepada soal kerusi semata-mata. Kita juga boleh melihat ruang lain seperti pelantikan dan jawatan tertentu di peringkat negeri yang boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada kerjasama.

Justeru, perbincangan perlu lebih terbuka dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan pilihan yang masih ada.

 

Jadi Datuk Seri melihat soal pengagihan kerusi di negeri-negeri yang dikuasai Pas tidak menjadi masalah besar?

Kalau ada masalah, saya rasa boleh selesai kalau masing-masing bertoleransi.

Kita bercakap soal politik, kerusi dan siapa pegang kerajaan.

Yang kedua, sesetengahnya bukan isu menang atau kalah terapi soal boleh bertanding.

 

Bagaimana Datuk Seri melihat titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi, khususnya apabila ada pihak yang menyalahertikan maksud titah tersebut?

Saya tengok institusi raja ini dalam tradisi Melayu sangat tinggi. Kedudukannya sangat tinggi. Bahkan dalam pentadbiran kita ada raja berperlembagaan.

Oleh kerana itu, pandangan dan teguran Tuanku mesti diambil berat.

Menteri Besar sepatutnya mengambil tanggungjawab melaksanakan teguran Sultan Selangor dengan mencari jalan penyelesaian, bukannya membiarkan perkara itu berlarutan sehingga Tuanku terpaksa menyuarakannya secara terbuka.

Kebiasaannya, teguran dan kebimbangan Sultan disampaikan kepada Menteri Besar melalui saluran pentadbiran atau ketika pembukaan persidangan Dewan.

Apabila perkara itu terpaksa dititahkan secara terbuka di luar saluran berkenaan, ia menggambarkan kekecewaan terhadap kegagalan mengambil tindakan.

Kita bimbang keadaan ini boleh menimbulkan persepsi bahawa teguran institusi raja boleh diabaikan tanpa sebarang implikasi. Sedangkan perkara yang dibangkitkan Tuanku menyentuh kepentingan rakyat dan sepatutnya diberi perhatian serius.

Keputusan pentadbiran juga tidak seharusnya dipengaruhi kepentingan kelompok peniaga tertentu, termasuk mereka yang mempunyai kepentingan politik, sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat diketepikan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini