KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menegaskan pemain perseorangan utama negara, Leong Jun Hao perlu segera memenangi gelaran antarabangsa kerana pada usia 26 tahun, dia tidak boleh lagi berselindung di sebalik alasan pemain muda.
Menurut Rashid, pemain itu sepatutnya sudah berada di tahap konsisten untuk mara ke separuh akhir dan final, bukannya sekadar puas dengan pencapaian suku akhir.
“Kalau tengok prestasi Jun Hao, sekarang ni dia memang dah kena mula menunjukkan prestasi. Kalau boleh, layak ke separuh akhir atau final, bukan lagi cukup dengan suku akhir.
“Sebab kalau ikutkan pendedahan, dia dah dapat banyak pengalaman bertahun-tahun bertanding, jadi tak perlu lagi alasan perlukan masa kerana umur dia pun dah 26,” kata Rashid ketika ditemui pada Kejohanan Tenpin Boling Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Jalil, kelmarin.
Rashid turut membandingkan situasi itu dengan bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang sudah muncul juara seawal berusia 22 tahun, malah pemain seperti Lee Zii Jia juga pernah melakar kejayaan pada usia muda.
“Kalau macam Chong Wei dulu, umur 22, 23 dah jadi juara. Jadi, pada saya, di usia 26, dia memang kena mula menunjukkan prestasi dan perlu ada gelaran juara,” katanya.
Musim ini menyaksikan Jun Hao hanya sekadar mara ke suku akhir menerusi Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, baru-baru ini dan Terbuka Singapura pada Jun lalu.
Dalam pada itu, Rashid menambah bahawa isu pertukaran jurulatih tidak boleh dijadikan kambing hitam kerana usaha sebenar terletak di bahu pemain, bukannya 100 peratus pada jurulatih.
“Jurulatih hanya beri panduan dan program latihan, tetapi 80 peratus usaha datang daripada pemain itu sendiri. Jangan semua perkara diserahkan kepada jurulatih untuk fikirkan,” katanya.
Untuk rekod, dalam jelajah BWF Jun Hao hanya meraih dua gelaran dalam kariernya menerusi Kuala Lumpur Masters 2023 dan Indonesia Masters 2022 yang mana masing-masing bertaraf Super 100. – UTUSAN











