SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya melumpuhkan dua sindiket penyeludupan dadah jenis Methamphetamine bernilai lebih RM2.87 juta, baru-baru ini.
Sindiket itu ditumpaskan dalam dua operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas, KLIA masing-masing pada 4 dan 14 November lalu.
Pengarah Kastam JKDM KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, kes pertama pada 14 November lalu membabitkan rampasan 15,456 unit katrij vape berisi 30.91 liter cecair disyaki Methamphetamine dianggarkan bernilai RM1.54 juta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua katrij itu dibawa masuk dari Kuching, Sarawak menggunakan dokumen Borang Kastam.
“Siasatan mendapati, sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo termasuk mengubah bentuk dadah kepada cecair dalam katrij vape bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagi kes kedua pula, Aspalila berkata, pihaknya berjaya mengesan dua bungkusan kotak yang didaftarkan untuk dieksport ke sebuah negara di benua Oceania melalui salah sebuah Pengendali Terminal Kargo (CTO).
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 26 ketulan mampat kristal Methamphetamine seberat 26.55 kilogram dianggarkan bernilai RM1.32 juta.
“Siasatan mendapati, dadah cuba dibawa keluar menggunakan perkhidmatan bungkusan dan disembunyikan dalam paket plastik bertulisan ‘Refined Chinese Tea’ bagi mengelak imbasan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya telah memanggil wakil syarikat pengendali penghantaran barangan berkenaan untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan pesalah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.
Aspalila berkata, beliau memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti penyelewengan kerana ia adalah satu bentuk ancaman besar.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai digesa terus membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN











