PETALING JAYA: Pengarah, Shahrulezad Mohamedin mendedahkan bahawa dia pernah secara tidak sengaja menunjukkan jari tengah kepada wartawan dan jurugambar ketika diminta berposing di karpet merah sebuah majlis anugerah.
Shahrulezad atau Shahrulezad Mohamedin, 54, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bersahaja berposing di hadapan jurugambar, sebelum menyedari isyarat tangan yang diberikan bukan seperti yang dimaksudkan.
“Masa itu saya berjalan di karpet merah dengan gaya bersahaja, kemudian jurugambar menjerit nama saya dan meminta saya berposing.
“Tanpa rasa bersalah, saya tersengih-sengih sambil tunjuk jari tengah, sedangkan saya mahu tunjuk ‘peace’,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Shahrulezad berkongsi perkara itu susulan hantaran pelakon, Azhan Rani yang turut menceritakan pengalaman lucu apabila tersasul ketika menyampaikan trofi kepada pemenang pada satu majlis anugerah.
Kata pengarah drama Khunsa itu, dia yang berasa panik segera mencari wartawan dan jurugambar berkenaan kerana bimbang isyarat tangannya disalah anggap.
“Saya terus panik dan tercari-cari wartawan serta jurugambar berkenaan dengan muka pucat kerana tidak sengaja menunjukkan jari tengah kepada mereka.
“Nasib baik wartawan yang tidak saya ingat dari organisasi mana, hanya ketawa kerana sudah mengenali saya dan tahu saya tidak sengaja. Kalau tidak, mati kena viral,” katanya.
Tambah Shahrulezad, dia mengakui kejadian itu antara pengalaman memalukan yang membuatkan dirinya kurang gemar menghadiri acara di karpet merah.
“Disebabkan itu, saya tidak begitu suka menghadiri acara karpet merah kerana mudah gelabah dan kadangkala melakukan perkara yang bukan-bukan.
“Lebih baik saya duduk di rumah menonton televisyen daripada tidak sengaja menunjukkan jari tengah kepada orang yang terserempak dengan saya,” selorohnya.











