PETALING JAYA: RHB Banking Group (RHB) memperkenalkan RHB Private, perkhidmatan perbankan khusus untuk pelanggan berpendapatan tinggi dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), termasuk keluarga serta pemilik perniagaan mereka.
Pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan kad kredit World Legend Mastercard yang pertama di Malaysia menerusi penawaran baharu berkenaan.
RHB Private dibangunkan berteraskan falsafah Curated for Generations bagi menyediakan perkhidmatan kewangan menyeluruh yang membantu pelanggan mengurus, mengembangkan serta mengekalkan kekayaan untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
Penawaran itu menghimpunkan kepakaran seluruh kumpulan RHB merangkumi perbankan peribadi dan komersial, perbankan pelaburan, pengurusan aset, perkhidmatan pemegang amanah, insurans serta takaful, termasuk penyelesaian kewangan konvensional dan Islamik.
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Berhad, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, RHB Private diwujudkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berdepan keputusan kewangan semakin kompleks, termasuk pengembangan perniagaan, perancangan pewarisan dan pelaburan merentas pasaran.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelanggan mendapatkan akses kepada kepakaran dan penyelesaian daripada seluruh kumpulan menerusi satu hubungan perbankan yang dipercayai.
“RHB Private menghimpunkan kekuatan kumpulan melalui satu hubungan yang dipercayai supaya pelanggan mendapat kepakaran dan penyelesaian bersesuaian seiring perkembangan aspirasi mereka.
“Pada masa sama, pengenalan World Legend Mastercard mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman dan keistimewaan berbeza yang memenuhi gaya hidup pelanggan,” katanya.
RHB Private berteraskan tiga tonggak utama iaitu Trusted Partnership, Wealth Stewardship dan Beyond Wealth.
Menerusi Trusted Partnership, setiap pelanggan akan diberikan seorang Pengarah Pelanggan Persendirian (Private Client Director) yang bertanggungjawab memahami keperluan kewangan, keluarga dan perniagaan mereka serta menghubungkan pelanggan dengan pakar berkaitan dalam kumpulan RHB.
Sementara itu, Wealth Stewardship memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan, mengoptimumkan dan mengekalkan kekayaan menerusi portfolio pelaburan yang diperibadikan, mandat pengurusan budi bicara serta peluang pelaburan daripada pengurus aset global terkemuka.
Ia turut merangkumi penempatan pelaburan pasaran persendirian terpilih, selain sokongan analisis pasaran dan khidmat nasihat yang disesuaikan dengan objektif serta tahap toleransi risiko pelanggan.
Tonggak ketiga, Beyond Wealth pula menawarkan pengalaman gaya hidup eksklusif, aktiviti yang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta peluang untuk pelanggan menyumbang kepada impak positif kepada masyarakat.
Antara kemudahan utama yang ditawarkan ialah kad kredit RHB Private World Legend Mastercard dan RHB Private World Elite Mastercard, termasuk versi konvensional dan Islamik.
Sementara itu, Presiden Bahagian Asia Barat Daya Mastercard, Beena Pothen berkata, golongan individu bernilai bersih tinggi kini semakin mengutamakan pengalaman, akses eksklusif serta kemudahan yang melengkapi gaya hidup mereka.
Katanya, kerjasama dengan RHB Private membolehkan pelanggan menikmati akses kepada The Mastercard Collection, iaitu rangkaian manfaat premium global meliputi pengalaman menjamu selera, hiburan dan perjalanan.
“Selain keistimewaan global Mastercard, pemegang kad turut menikmati manfaat perjalanan eksklusif RHB termasuk perkhidmatan bantuan khas di lapangan terbang (Meet & Assist) serta akses ke ruang istirahat lapangan terbang antarabangsa.
“Penawaran itu turut dilengkapi Akaun Semasa RHB Private dan Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB Private yang menyokong transaksi sehingga 34 mata wang,” katanya.
Pelancaran RHB Private mencerminkan komitmen kumpulan itu untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan menerusi penyelesaian perbankan, pelaburan, pembiayaan, pengurusan legasi dan gaya hidup dalam satu penawaran menyeluruh.-UTUSAN











