PETALING JAYA: Pelabur institusi asing meneruskan aktiviti jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM279.2 juta.
MBSB Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih dalam tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM248.4 juta.
“Ia diikuti Jumaat sebanyak RM146.4 juta dan Khamis RM55.7 juta, manakala aliran masuk bersih direkodkan pada Selasa sebanyak RM91.1 juta dan Isnin RM80.2 juta.
“Mengikut sektor, hanya tiga sektor mencatatkan aliran masuk bersih daripada pelabur institusi asing iaitu penjagaan kesihatan sebanyak RM111.6 juta, telekomunikasi dan media (RM60.8 juta) serta amanah pelaburan hartanah (REIT) sebanyak RM2.6 juta.
“Sebaliknya, sektor produk dan perkhidmatan perindustrian merekodkan aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM82.7 juta, diikuti teknologi (RM70 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna sebanyak RM65.9 juta,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih selepas menamatkan rentetan jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM232.3 juta.
“Pelabur runcit pula meneruskan rentetan pembelian bersih untuk minggu ke-13 berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM46.9 juta.
“Dari segi aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan merentasi semua kategori pelabur.
“Volum dagangan pelabur runcit meningkat 12.3 peratus, manakala institusi tempatan dan institusi asing masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 22.4 peratus dan 3.0 peratus.,” katanya.
Perkembangan itu menunjukkan institusi tempatan kembali menyokong pasaran selepas tiga minggu jualan bersih, manakala pelabur runcit terus mengekalkan momentum pembelian meskipun pelabur asing masih mengambil pendekatan mengurangkan pegangan saham di Bursa Malaysia.-UTUSAN











