13 LRA, lima daerah Johor berisiko alami kekurangan air

13 LRA, lima daerah Johor berisiko alami kekurangan air

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 13 loji rawatan air (LRA) melibatkan lima daerah di negeri ini dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan (hotspot) berisiko mengalami kekurangan sumber air mentah akibat fenomena El Nino.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daerah terlibat ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri sedang mengambil langkah bersiap siaga untuk berdepan situasi berkenaan menerusi kerjasama teknikal dengan pelbagai agensi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara usaha diambil termasuk mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Pelaksanaan operasi itu melibatkan tempoh dari November 2026 hingga Jun 2027 dengan memberi keutamaan kepada kawasan tadahan yang membekalkan sumber air kepada 13 LRA terbabit,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Yak Howe (PH-Bentayan) berhubung persediaan kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air bersih dan elektrik kekal mencukupi sekiranya fenomena super El Nino berlaku.

Mohamad Fazli turut berkata, operasi pembenihan awan dicadang dilaksanakan secara mingguan mengikut kesesuaian cuaca manakala tempoh selepas (Monsun Timur Laut), pelaksanaannya akan disesuaikan mengikut keadaan atmosfera dan keperluan semasa.

“Sementara itu, pemantauan harian terhadap paras empangan, sungai dan muka sauk turut digerakkan oleh Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Ranhill SAJ bagi membolehkan tindakan mitigasi awal diambil.

“Antara langkah dikenal pasti termasuk pemindahan air mentah Seluyut-Layang berkapasiti sehingga 300 juta liter sehari (JLH), pemindahan air dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam serta pengepaman tambahan bagi menyokong Empangan Machap, Empangan Sembrong dan kawasan berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini