YOGYAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang disyaki merekrut sekurang-kurangnya 17 rakyat negara itu untuk menyertai perang Russia-Ukraine dengan tawaran kontrak bernilai sehingga 500 juta rupiah (RM112,450) serta gaji bulanan 50 juta rupiah (RM11,245).
Suspek yang dikenal pasti sebagai KRF ditahan di Yogyakarta pada 16 November lalu sebelum direman sehari kemudian.
Timbalan Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Polis Yogyakarta, Sandityo Mahardika berkata, kegiatan merekrut itu dipercayai bermula sejak Julai lalu dengan calon direkrut berlepas ke Russia secara berperingkat selepas bersetuju menerima tawaran sebagai askar atau kombatan.
“Dia dipercayai menghantar kira-kira 17 rakyat Indonesia untuk berkhidmat sebagai askar simpanan atau kombatan dalam perang Russia-Ukraine,” katanya.
Suspek dipercayai menerima bayaran kira-kira AS$1,000 (RM4,113) bagi setiap individu yang berjaya dibantunya dihantar ke Russia.
Pemangku Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Yogyakarta, Wahyu Aji Wibowo berkata, kegiatan merekrut itu dilakukan menerusi kumpulan media sosial termasuk Facebook, dengan menghubungkan individu dari pelbagai negara yang berminat menyertai pertempuran.
Menurutnya, calon yang menunjukkan minat akan dimaklumkan kepada ejen di Russia untuk proses pengesahan sebelum tiket penerbangan diuruskan sekiranya permohonan mereka diluluskan.
“Suspek akan menghubungi ejen berkenaan sebaik seseorang menunjukkan minat. Ejen itu kemudian mengesahkan maklumat calon dan menghantar tiket penerbangan sekiranya permohonan diluluskan. Bagaimanapun, calon perlu menguruskan pasport dan visa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, proses pengambilan itu tidak menetapkan syarat khusus berkaitan umur, keadaan fizikal atau kelayakan lain, sebaliknya calon yang berminat hanya perlu menghadiri taklimat sebelum berlepas.
Kes itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam selain mengesan bahan berkaitan kegiatan perekrutan berkenaan menerusi rondaan siber.- AGENSI











