FFM35: Afdlin Shauki tiada niat menyindir atau memperlekehkan Aina Abdul - Utusan Malaysia

FFM35: Afdlin Shauki tiada niat menyindir atau memperlekehkan Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menjelaskan dia tidak berniat menyindir atau memperlekehkan penyanyi Aina Abdul ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), Sabtu lalu.

Menurut Afdlin, dia terpaksa tampil memberi penjelasan ini selepas timbul persoalan mengenai unsur body shaming dalam jenaka yang disampaikan.

Menurutnya, dia menyebut nama Aina kerana mengagumi keberanian penyanyi itu bereksperimen dengan fesyen sehingga penampilannya menjadi identiti tersendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memang peminat Aina Abdul. Saya ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.

“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul’.

“Itu namanya penjenamaan yang menjadi,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Afdlin menjelaskan, dia sememangnya gemar menyelitkan gurauan mengenai rakan-rakan seni yang dikaguminya ketika mengendalikan sesuatu acara.

Katanya, pendekatan sama pernah digunakan ketika mengacara Anugerah Industri Muzik (AIM), apabila beliau bergurau mengenai beberapa penyanyi terkenal termasuk Zee Avi, Sheila Majid, Allahyarham Adibah Noor dan Jaclyn Victor.

“Sebab itulah saya petik nama Aina malam tu. Sebagai hos, saya suka selitkan gurauan tentang rakan-rakan seni yang saya kagumi. Masa mengacara Anugerah Industri Muzik dulu pun abang pernah bergurau tentang Zee Avi, Sheila Majid, arwah Adibah Noor, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

“Oh ya, mungkin ada yang tak tahu, saya pun pemuzik dan penyanyi. Pelawak sendu ini ada range juga,” katanya.

Mengulas dakwaan body shaming, Afdlin berkata, dia memahami perasaan apabila tubuh badan dijadikan bahan gurauan kerana sudah lama menerima komen mengenai fizikalnya sendiri.

“Bila timbul soal body shaming, saya nak jelaskan apa yang saya rujuk. Punchline malam tu tentang saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan.

“Saya sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi saya tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak. Saya sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang saya nak tonjolkan,” katanya.

Bagaimanapun, Afdlin tidak menafikan kemungkinan gurauan itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada Aina, malah memohon maaf sekiranya perkara tersebut berlaku.

“Aina, kalau cara saya bergurau malam itu buat Aina rasa tak selesa, saya minta maaf. Saya tak berniat nak menyindir Aina.

“Saya memang ‘big fan’, dan insya-Allah kalau ada rezeki, saya teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” katanya.

Afdlin turut menjelaskan, cara masyarakat menerima gurauan kini sudah banyak berubah berbanding ketika dia mula mengacara, terutama apabila potongan video daripada sesuatu acara boleh tersebar dan ditafsirkan dalam pelbagai cara.

“Cara orang menerima gurauan dah banyak berubah sejak zaman abang mula mengacara. Sekarang, beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran. Sebab itu saya rasa elok saya beri konteks sendiri.

“Kepada yang menegur, saya dengar. Kepada yang dah lama tak berkenan, saya doakan yang baik-baik juga. Saya jauh daripada sempurna. Saya cuma cuba buat sebaik mungkin dalam kerja dan dalam hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini