Fiji isytihar darurat bencana susulan El Nino

Fiji isytihar darurat bencana susulan El Nino

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUVA: Fiji mengisytiharkan darurat bencana selama sebulan susulan kemarau akibat fenomena El Nino yang menyebabkan kekurangan bekalan air di seluruh negara itu.

Jabatan meteorologi Fiji meramalkan taburan hujan kekal di bawah paras normal sehingga sekurang-kurangnya April depan, sekali gus memburukkan keadaan bekalan air.

Perdana Menteri, Sitiveni Rabuka berkata, pengisytiharan itu membolehkan kerajaan mempergiat usaha menangani krisis menerusi penggemblengan sumber dan penyelarasan bantuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, penduduk di seluruh negara semakin bimbang terhadap bekalan air serta kesan cuaca kering berpanjangan terhadap kehidupan seharian.

“Petani bimbang terhadap tanaman dan ternakan, manakala masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman dan kepulauan terpencil, semakin tertekan akibat bekalan air yang semakin berkurangan.

“Kebimbangan ini sememangnya berasas,” katanya dalam perutusan kepada rakyat pada Rabu.

Rabuka berkata, kerajaan memperuntukkan 20 juta dolar Fiji (AS$8.5 juta) bagi menangani krisis itu menerusi pengagihan semula dana sedia ada.

Peruntukan itu akan digunakan untuk memastikan bekalan air kecemasan dapat disalurkan kepada keluarga dan petani yang terjejas.

Pengisytiharan darurat bencana itu berkuat kuasa selama sebulan dan boleh dilanjutkan atau ditarik balik berdasarkan nasihat Majlis Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan.

El Niño merupakan corak iklim semula jadi apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik menjadi luar biasa panas, sekali gus mencetuskan keadaan cuaca ekstrem di seluruh dunia, termasuk kemarau di sesetengah kawasan dan banjir di kawasan lain.

Sesetengah saintis berpendapat pemanasan global boleh meningkatkan kekuatan fenomena itu.

Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat (AS) minggu lalu memaklumkan El Niño semakin menguat, dengan kebarangkalian melebihi 79 peratus untuk mencapai tahap kuat hingga sangat kuat antara Januari hingga Mac.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini