SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini enggan mendedahkan inti pati sesi menghadap dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Selasa lalu.
Sebaliknya, beliau meminta supaya pihak media menunggu sehingga majlis menghadap Tuanku Muhriz yang dijadualkan esok selesai.
“Tunggu esok,” katanya ringkas kepada pemberita selepas melancarkan program Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.
Selasa lalu, Ismail dilaporkan menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini difahamkan susulan surat peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.
Barisan Nasional (BN) melalui kenyataan akhbar Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Isnin lalu, memberitahu telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memberitahu, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuatkuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan itu tidak menyentuh mengenai perkenan Tuanku Muhriz terhadap surat Ismail itu.
Berikutan itu, kedudukan Ismail menjadi tanda tanya sama ada kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan atau sebaliknya.
Namun, semalam, Ismail dilaporkan terus menjalankan tugas seperti biasa dengan mengadakan mesyuarat dan perjumpaan dengan beberapa pihak termasuk merasmikan program Bulan Zakat Negeri Sembilan hari ini sebagai Menteri Besar.
Istana Negeri Sembilan pada Selasa lalu telah mengesahkan majlis menghadap antara Ismail dan Tuanku Muhriz akan berlangsung di Istana Hinggap pada pukul 10 pagi esok.-UTUSAN.










