PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa menyiasat tindakan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang memuat naik Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan di berkaitan keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosial.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan memuat naik kandungan dokumen berstatus sulit yang belum dinyahklasifikasikan itu disifatkan sebagai melampaui batas perundangan dan mempunyai niat tertentu.
Katanya, perbuatan tersebut dilihat sebagai cubaan mencabar kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong selain melanggar peruntukan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan Tony Pua serta DAP perlu segera disiasat serta dikenakan tindakan sewajarnya.
“Saya kira tindakan itu sudah melampaui batas kerana berniat jahat terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mahdzir mempersoalkan bagaimana isi kandungan dokumen rasmi yang masih diklasifikasikan sebagai sulit boleh tersebar kepada umum tanpa sebarang pengumuman penyahklasifikasian oleh kerajaan.
“Kalau dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu telah dinyahklasifikasikan, kenapa tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan?
“Ini menunjukkan minit mesyuarat itu diperoleh secara tidak sah dan ada pihak sengaja membocorkan dengan niat tidak baik, khususnya menjurus kepada memperlekehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Kedah akan membuat satu laporan polis bagi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kebocoran dokumen tersebut.
“Tony Pua jangan bertindak membaling batu sembunyi tangan, beliau perlu menjelaskan dari mana sumber maklumat dan butiran minit mesyuarat itu diperoleh. Cukup-cukuplah bermain politik yang melampaui batas undang-undang sehingga mencetuskan ketidakharmonian dalam negara,” tegasnya.-UTUSAN











