El Nino paksa penternak jual lembu murah

El Nino paksa penternak jual lembu murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENSUNTEPEQUE: Kemarau teruk akibat fenomena El Nino menyebabkan penternak di El Salvador terpaksa menjual lembu pada harga murah berikutan keadaan ternakan yang semakin kurus dan berisiko mati kerana kekurangan makanan.

Pemilik ternakan kini berusaha mendapatkan wang daripada penjualan lembu masing-masing sebelum haiwan itu mati akibat kelaparan.

Persatuan Penternak Lembu El Salvador memberitahu AFP, kira-kira 60 peratus sektor penternakan lembu negara itu terjejas akibat kemarau teruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan itu diburukkan oleh fenomena El Nino Super yang menyumbang kepada peningkatan suhu global ke paras tertinggi.

Koridor Kering menerima kesan paling ketara kerana kawasan itu sangat terdedah kepada perubahan iklim serta fenomena El Nino, fenomena semula jadi yang mengganggu corak iklim dan cuaca.

Ketiadaan rumput menyebabkan penternak terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membeli makanan tambahan bagi memastikan ternakan mereka terus hidup.

Permintaan terhadap makanan ternakan turut melonjakkan harga apabila kos satu muatan jagung seberat kira-kira 1.5 tan meningkat daripada AS500 (RM2,042) tahun lalu kepada kira-kira AS900 (RM3,676), menurut seorang penternak.

Kos makanan yang semakin tinggi turut menjejaskan nilai jualan lembu.

Penternak lembu, Misael Novoa, berkata seekor lembu kurus yang biasanya boleh dijual pada harga kira-kira AS$500 kini hanya bernilai separuh daripada jumlah itu berikutan kos tinggi yang perlu ditanggung pembeli untuk memeliharanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran fenomena El Nino dijangka terus menguat sebelum mencapai kemuncak pada Disember.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini