Kebakaran Indonesia ancam lukisan gua tertua di dunia

Kebakaran Indonesia ancam lukisan gua tertua di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lukisan gua tertua di dunia yang terletak di pulau Sulawesi, Indonesia, kini berdepan ancaman kemusnahan berikutan cuaca panas dan kepulan asap daripada kebakaran hutan terburuk di negara itu dalam tempoh berdekad.

Indonesia kini bergelut dengan krisis kebakaran hutan paling buruk sejak 2015, didorong fenomena El Nino yang menaikkan suhu serta mengurangkan taburan hujan hingga menyebabkan kawasan hutan dan tanah gambut mudah terbakar.

Meskipun Pulau Sumatera dan Borneo menerima kesan terburuk, kebakaran turut merebak ke Sulawesi termasuk wilayah Sulawesi Selatan yang menempatkan gua batu kapur bersama khazanah seni prasejarah tertua dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sebuah gua di Maros-Pangkep, Sulawesi Selatan, lukisan yang menggambarkan figura seperti manusia berinteraksi dengan seekor babi disahkan penyelidik dari Universiti Griffith, Australia, berusia sekurang-kurangnya 51,200 tahun.

Manakala di sebuah gua berdekatan Pulau Muna, cap tangan berwarna kemerahan pula dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 67,800 tahun.

Berhampiran gua Maros-Pangkep, pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan marakan api ketika asap tebal mula menyelubungi pemandangan bukit karst, ciri utama taman negara dan Geopark Global UNESCO di kawasan sekitar.

Anggota bomba, Muhammad Ikfar memaklumkan bahawa kebakaran tercetus berdekatan tapak bersejarah itu selama lebih seminggu awal Oktober lalu dan pernah menghampiri lingkungan 800 meter dari kawasan gua.

Menurut Ikfar, lebih 270 hektar kawasan taman negara hangus terbakar antara 30 September hingga 18 Oktober lalu.

Pakar arkeologi Universiti Griffith, Basran Burhan berkata, kesan pertama dan paling merosakkan adalah haba panas.

“Walaupun api tidak menyentuh lukisan secara terus, haba panas tetap boleh merosakkannya kerana ia mengubah suhu persekitaran sekali gus mempercepat proses pengakisannya,” kata beliau. Selain haba katanya, kepulan asap turut menghasilkan jelaga.

“Ia membentuk lapisan jelaga di atas lukisan dan melindunginya, menyebabkan corak lukisan menjadi kabur dan sukar untuk dikenal pasti,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini