WASHINGTON: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan tidak menyambut usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memulihkan hubungan komunikasi antara kedua-dua negara, termasuk memulangkan surat yang dihantar Washington tanpa membukanya.
Menurut laporan The Wall Street Journal yang memetik sumber rapat, Trump cuba menghubungi Jong-un menerusi panggilan telefon dan saluran diplomatik tahun lalu, namun semua percubaan itu tidak mendapat sebarang maklum balas.
Trump kemudian mengambil langkah menghantar sepucuk surat kepada pemimpin Korea Utara itu menerusi seorang diplomat negara berkenaan di New York.
Bagaimanapun, diplomat terbabit dilaporkan memulangkan surat berkenaan kepada wakil AS tanpa membukanya.
Tindakan itu memberi gambaran Jong Un tidak lagi berminat untuk mengadakan rundingan dengan Trump, berbeza ketika penggal pertama pentadbiran Presiden AS itu apabila kedua-dua pemimpin kerap bertukar surat dan mengadakan pertemuan secara bersemuka.
Sikap dingin Pyongyang itu hadir ketika Trump berusaha mencapai kejayaan besar dalam dasar luar bagi mengukuhkan legasinya, susulan kekalahan teruk partinya dalam pilihan raya pertengahan penggal baru-baru ini.
Kejayaan diplomatik dengan Korea Utara, yang sekian lama berdepan kebuntuan dalam rundingan berkaitan pelucutan senjata nuklear, dilihat berpotensi memberikan kelebihan politik kepada Trump.
Usaha Washington untuk menghentikan atau menyekat program senjata nuklear Pyongyang bagaimanapun gagal sejak beberapa dekad lalu, termasuk selepas negara itu menjalankan ujian nuklear pertamanya pada 2006.
Korea Utara kini dianggarkan memiliki kira-kira 60 kepala peledak nuklear, meningkat sehingga 200 peratus sejak 2019, selain membangunkan peluru berpandu balistik antara benua yang berupaya mencapai tanah besar AS.
Jong-un turut memperkukuh kedudukan strategik negaranya dalam menghadapi tekanan Washington menerusi hubungan lebih erat dengan Russia dan China, selain menjana dana melalui kegiatan kecurian mata wang kripto.
Beliau kini menuntut pengiktirafan AS terhadap Korea Utara sebagai sebuah kuasa nuklear, yang menurutnya boleh membuka laluan kepada kewujudan bersama secara aman.
Bagaimanapun, Rumah Putih menegaskan Washington kekal komited terhadap matlamat pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Korea Utara.- AGENSI










