Ayda Jebat intai dunia penerbitan drama - Utusan Malaysia

Ayda Jebat intai dunia penerbitan drama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas lima tahun menerbitkan video muzik dan kandungan komersial, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat kini mengembangkan sayap dalam bidang penerbitan drama serta telefilem untuk siaran televisyen.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 34, berkata syarikat penerbitan miliknya bersama suami, Nabil Mahir, AJNM Entertainment, mula menyahut cabaran menghasilkan drama televisyen selepas yakin dengan potensi karya mereka.

Menurutnya, syarikat berkenaan merancang memperluas penghasilan kandungan dengan memulakan penggambaran drama dan telefilem bermula bulan depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selama ini kami lebih banyak menghasilkan video muzik, iklan dan jingle untuk pelbagai jenama terkenal. Namun, kali ini kami mahu mencuba sesuatu berbeza dengan meneroka penerbitan untuk televisyen.

“Alhamdulillah, projek pertama kami sudah pun ditayangkan menerusi RTM. Insya-Allah, bulan depan kami akan memulakan penggambaran sebuah drama dan sebuah lagi telefilem,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian cawangan baharu jenama tempatan, Bayu Somerset di AEON Bandaraya Melaka, baru-baru ini.

Bagi projek drama terbaharu syarikat itu, Ayda berkata penggambaran dijadualkan bermula bulan depan dengan menampilkan beberapa pelakon termasuk model dan pelakon, Amber Chia.

Dalam perkembangan sama, Ayda mengakui penerbit dan pelakon berpengalaman, Sheila Rusly, menjadi antara individu yang banyak memberi inspirasi kepadanya untuk mendalami bidang penerbitan.

Katanya, beliau banyak memerhatikan cara Sheila mengendalikan produksi, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, penelitian skrip dan pemilihan jalan cerita.

“Saya sangat mengaguminya. Saya suka semua cerita yang dihasilkan Sheila bersama suaminya, Jinggo kerana jalan ceritanya berkualiti selain ketelitian dalam menguruskan bajet.

“Dulu, beliau selalu telefon saya dan menyuruh datang ke rumah. Ketika itulah saya dapat melihat sendiri caranya meneliti dan mengkaji skrip. Secara tidak langsung, banyak perkara saya belajar daripadanya,” katanya.

Mengenai pembahagian tugas bersama suaminya, Ayda berkata Nabil bertanggungjawab sebagai pengarah, manakala beliau memberi tumpuan kepada urusan di belakang tabir serta pengurusan produksi.

Walaupun menyimpan hasrat untuk bergelar pengarah, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu tidak mahu terburu-buru merealisasikan impian berkenaan kerana menyedari bidang tersebut memerlukan ilmu dan pengalaman mencukupi.

“Saya rasa perlu menimba ilmu terlebih dahulu. Bukan tidak boleh buat, tetapi saya mahu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman, termasuk mereka yang rapat dengan saya.

“Kami tidak mahu terus terjun tanpa persediaan kerana banyak perkara perlu difahami. Saya mahu tahu bagaimana menguruskan produksi dengan betul sebelum melangkah lebih jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda turut berkongsi minatnya terhadap Bayu Somerset yang disifatkan sebagai jenama tempatan dengan perkembangan memberangsangkan tanpa mengabaikan kualiti produk.

Katanya, beliau sudah lama menjadi pelanggan jenama berkenaan dan sering mengenakan koleksi pakaiannya ketika menghadiri mesyuarat, urusan rasmi serta kemunculan di televisyen.

“Saya memang suka cara mereka berkembang dengan cepat tetapi kualiti tetap terjaga. Saya sendiri sudah lama memakai pakaian Bayu Somerset, malah hampir setiap Jumaat atau ketika ada urusan rasmi, saya memilih koleksi ini.

“Tahniah kepada pemiliknya yang turut menyuntik inspirasi kepada saya sebagai pengusaha bisnes. Harap mereka terus maju dan menghasilkan lebih banyak koleksi termasuk pakaian bayi seperti romper daripada fabrik kapas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini