Curi kabel: Dua anggota Geng Mat Lan Keladi diberkas, lima lagi diburu

Curi kabel: Dua anggota Geng Mat Lan Keladi diberkas, lima lagi diburu

ANTARA barangan yang dirampas dan digunakan oleh suspek bagi melakukan kegiatan curi kabel di sekitar Kangar, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua anggota Geng Mat Lan Keladi yang dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kabel di sekitar negeri ini diberkas menerusi Ops Kabel yang dilaksanakan pada Selasa lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.25 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar telah menerima maklumat berkaitan satu kes kecurian kabel berhampiran sebuah stesen minyak sekitar Taman Kemajuan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, susulan maklumat itu, anggota JSJ IPD Kangar dengan dibantu oleh Task Force Balai Polis Kangar dan Cawangan D4 JSJ Kontinjen Perlis telah bergegas ke lokasi berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila polis datang ke lokasi kejadian, didapati ada tiga kenderaan bersama tujuh individu dikenal pasti sedang melakukan kegiatan curi kabel.

“Susulan itu, berlaku sedikit adegan kejar mengejar antara polis dan suspek dari Taman Kemajuan ke Dataran Keris sebelum dua daripada mereka berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Kangar, di sini, hari ini.

Yusharifuddin berkata, dua suspek lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan bersama lapan batang kabel milik Telekom yang dipotong dengan anggaran dua meter setiap satu.

Beliau berkata, buat masa ini, polis juga masih giat mengesan lima lagi suspek berusia lingkungan 30-50 tahun yang dikesan melarikan diri dengan dua kenderaan semasa operasi tersebut.

“Setiap batang kabel yang dipotong itu dianggarkan bernilai RM500 dan beberapa peralatan turut dirampas semasa operasi berkenaan. Jumlah kerugian dialami dianggarkan berjumlah RM4,000.

“Hasil semakan juga mendapati suspek pertama dan kedua memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini