Strategi Jun Hao tunjuk tanda positif

Strategi Jun Hao tunjuk tanda positif

Leong Jun Hao meneruskan kemaraan selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Chi Yu Jen 21-19, 21-16 pada Terbuka Jepun, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan No.1 lelaki negara, Leong Jun Hao memulakan kempen Terbuka Jepun dengan langkah kanan apabila menyingkirkan pemain ranking ke-19 dunia dari Taiwan, Chi Yu Jen 21-19, 21-16 pada pusingan pertama semalam, sekali gus memberi petanda positif bahawa rentak permainannya kembali berada di landasan terbaik.

Kemenangan ke atas lawan yang berada 11 anak tangga lebih tinggi dalam ranking dunia itu turut menyaksikan Jun Hao kini mendahului rekod pertemuan dengan Yu Jen 4-3, sekali gus menebus kekalahan yang dialaminya dalam beberapa pertemuan terdahulu.

“Saya rasa hari ini saya dapat masuk ke dalam pelan permainan dengan cepat dan tempo permainan saya juga sangat baik.

“Lawan memang seorang pemain yang kuat dan saya gembira kerana dapat mengawal rentak permainan sejak awal lagi,” katanya.

Menurut Jun Hao, faktor utama yang membezakan aksinya kali ini ialah kemampuan mengekalkan konsistensi pukulan selain bijak mencari ruang untuk melakukan serangan ke atas lawannya yang terkenal dengan corak permainan bertenaga.

“Saya fikir saya perlu pastikan pukulan saya sentiasa konsisten dan pada masa sama mencari peluang untuk melakukan serangan kerana semua orang tahu dia seorang pemain yang kuat, mempunyai kuasa pukulan dan sangat konsisten.

“Itu yang saya cuba lakukan hari ini dan saya rasa ia menjadi dengan baik,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu turut mendedahkan latihan intensif selama sebulan sebelum berlepas ke Tokyo banyak membantunya mendapatkan semula rentak permainan yang diinginkan selepas melalui tempoh kurang memberangsangkan sebelum ini.

“Saya menjalani latihan yang sangat baik sepanjang sebulan lalu dan saya harap semuanya akan terus berjalan dengan lancar.

“Saya juga merasakan rentak serta tempo permainan saya semakin baik dan berharap dapat mengekalkannya dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Jun Hao kini bakal berdepan pilihan kelima dari Perancis, Christo Popov pada pusingan kedua dalam usahanya memburu tempat ke suku akhir, sesuatu yang masih belum berjaya dicapainya dalam saingan Jelajah Dunia musim ini selepas beberapa kali terkandas di pusingan kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN